Kuala Lumpur, 11-12 Jun 2025 | Rabu – Khamis — Institut Kenegaraan Perdana (IKP), Jalan Bellamy telah menjadi lokasi utama berlangsungnya Program Training of Trainers (T.O.T) Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI – Sahabat Penggerak MADANI Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bagi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Seramai 152 orang peserta yang terdiri daripada SPM AKM hadir bagi mengikuti program intensif ini yang bertujuan untuk memperkukuh kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat kenegaraan dalam kalangan penggerak akar umbi. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Perancangan Strategik (BPS) dengan kerjasama AKM Negeri Selangor dan AKM Wilayah Persekutuan.
Antara objektif utama penganjuran adalah bagi memastikan SPM AKM bersedia menjadi pemudah cara dan penyampai dasar kerajaan, terutamanya berkenaan agenda Malaysia MADANI. Pelbagai input penting mengenai Malaysia MADANI telah disampaikan kepada para peserta sebagai bekalan untuk mereka melaksanakan peranan secara efektif dalam komuniti masing-masing.
Program ini turut menyaksikan penglibatan aktif Pengarah AKM Negeri Selangor, Encik Ahmad Shukri bin Haji Adnan dan Pengarah AKM Wilayah Persekutuan, Encik Faizal Iqram bin Ibeni Yanin, yang masing-masing mengambil peluang untuk berdialog bersama para peserta serta membincangkan pelaksanaan gerak kerja AKM di negeri masing-masing.
YBhg. Dato’ Dr. Hj. Roslan bin Hussin, Ketua Pengarah AKM, turut hadir menyampaikan Input Malaysia MADANI dan merasmikan program ini. Dalam amanat beliau, Dato’ Dr. Roslan menyeru semua, agar terus meningkatkan kemahiran komunikasi dan menjadi agen penyampai maklumat yang berkesan kepada masyarakat, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI.
Turut menerima penghargaan dalam program ini ialah Tuan Haji Amidi Abd Manan, Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), yang telah dilantik secara rasmi sebagai Jurulatih Sahabat Penggerak Madani di bawah naungan AKM.
Selain sesi ceramah dan input dasar, peserta juga terlibat secara aktif dalam aktiviti berkumpulan yang memfokuskan kepada teknik komunikasi berkesan, sekali gus meningkatkan semangat kerjasama dan kefahaman dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.
Program ini berjaya memperkukuh barisan penggerak kenegaraan yang berwibawa serta bersedia memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan, patriotisme dan nilai Malaysia MADANI kepada masyarakat umum.
Average Rating