KUALA LUMPUR, 12 JUN: Selepas lebih 600 hari serangan bertubi-tubi dilancarkan terhadap Gaza, tentera Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu masih gagal mencapai sebarang matlamat utama yang dilaungkan sejak 7 Oktober 2023.
Senator Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata semangat juang, komitmen dan pemikiran inovatif rakyat Palestin meskipun tanpa senjata serta teknologi moden berjaya mengekang keganasan Israel dalam usaha melindungi tanah air dari cengkaman Zionis.
“Ikut sejarah perang Arab-Israel 1967, Mesir yang mempunyai kekuatan puluhan ribu tentera dan alat perang canggih hanya boleh bertahan enam hari, Palestin sejak Oktober 2023 masih boleh bertahan.
“Rakyat Palestin cukup inovatif, mampu lancarkan serangan tiga ribu roket hanya guna paip air biasa selain memasang perangkap dalam rumah dengan melancarkan letupan untuk mengekang keganasan tentera Israel,” katanya yang juga presiden dan naib canselor Universiti Selangor (Unisel).
Beliau berkata demikian pada sesi syarahan bertajuk Mencari Makna Kemanusiaan anjuran bersama Unisel dan Institut Darul Ehsan di Universiti Malaya di sini, hari ini.
Mohammad Redzuan berpandangan Gaza mampu bangkit mencapai wilayah maju dari sudut pembangunan jika bebas dari sebarang ancaman melibatkan mana-mana pihak khususnya Israel.
“Dengan komitmen tinggi inovasi dan tahap buta huruf rendah di kalangan penduduk, Gaza mampu dibangunkan hingga negara maju seperti Singapura jika diberi peluang tanpa sekatan dan serangan.
“Walaupun menghadapi pelbagai bentuk penindasan dan sekatan, mereka masih mampu bertahan dalam berperang, tiada ketakutan kalau pemimpin dan pejuang mereka mati akan diganti orang lain,” ujarnya.
Israel bersumpah untuk menghancurkan Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023 dan mengembalikan semua tebusan sebagai sebahagian daripada objektif peperangannya.
Serangan Hamas mengorbankan lebih 1,200 orang manakala serangan Israel menyebabkan lebih 54,000 kematian di Gaza, menurut angka daripada kedua-dua pihak. – Sumber Selangor KINI
Average Rating