Ipoh, 20 Jun 2025 – Majlis Penutup Wacana Bergerak Pemikiran Siddiq Fadzil Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Politeknik Ungku Omar telah melabuhkan tirainya dengan penyampaian ucapan yang sarat dengan penghayatan dan penghargaan terhadap pemikiran serta sumbangan besar Almarhum Ustaz Dr. Siddiq Fadzil (USF).
Dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bagi memberikan perasmian penutup untuk Siri Wacana Bergerak MADANI: Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil: Mencari Makna Islam dalam Wacana Kebangsaan bagi peringkat Negeri Perak.
Perasmian pembukaan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air Dan Pengangkutan Awam Negeri Perak bagi mewakili YAB Menteri Besar Perak.
Penyampai ucapan penutup turut menzahirkan rasa hiba, menyifatkan USF sebagai tokoh berjiwa besar yang banyak berjasa dan sentiasa membawa pendekatan yang mendamaikan dalam wacana intelektual, keagamaan dan kebangsaan.
“Tokoh seperti Ustaz Dr. Siddiq Fadzil sangat dirindui. Kita perlu lebih ramai tokoh berwibawa yang mampu merintis jalan damai dalam kepelbagaian dan menjadi jambatan antara dunia tradisi dan arus pemodenan,” ujar YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Dalam masa yang sama, beliau meluahkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu dengan sahabat-sahabat serta guru-guru yang telah lama tidak bersua, menjadikan majlis tersebut sebagai medan pertemuan yang penuh makna. Ucapan beliau yang disampaikan secara spontan tanpa teks menyentuh secara langsung pemikiran besar USF yang menjadi inspirasi ramai. Beliau turut menjelaskan sebab mengapa YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memilih buku Islam dan Melayu karya USF sebagai antara bahan bacaan utama dalam Slot Telaah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.
Beberapa gagasan penting turut dihuraikan secara ringkas, termasuk tema Islam dan Melayu, pendidikan al-hikmah, politik wasatiy, maqasid al-Shariah, manhaj Maliziy, fiqh al-ta‘āyush, al-muwāṭinūn, karāmah insāniyyah, serta pendekatan pengurusan ekonomi Nabi Yusuf yang relevan dengan konteks pentadbiran semasa.
Majlis turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan wacana yang sangat bermakna ini, dalam usaha memperluas kefahaman dan penghargaan terhadap warisan pemikiran tokoh besar tanah air.
No responses yet