KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.10 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Berita pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu dikongsikan oleh menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di ruangan Instagram Story hari ini.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 pm di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Allahyarhan Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 adalah mantan Menteri Malaysia yang ke- 5 selepas Tun Dr. Mahathir Mohammad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarhan Tun Abdullah menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru.
Pada mulanya, beliau bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi di universiti. Namun, selepas gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan meneruskan kursus kepujian dalam bidang tersebut dan seterusnya memilih untuk belajar Pengajian Islam. Allahyarham Tun Abdullah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1964.
Selepas tamat pengajian, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, beliau berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan eksekutif yang ditubuhkan bagi mentadbir negara selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.
Allahyarham Tun Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato’ Mahmood pada tahun 1965. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak dan empat orang cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia selepas menghidap barah payudara sejak tahun 2003.
Kurang daripada dua tahun selepas pemergian Allahyarhamah Tun Endon, Allahyarham Tun Abdullah berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.
Beliau dikenali sebagai seorang yang mengutamakan masa makan malam bersama keluarga dan amat menggemari makanan Jepun. Sebagai anak jati Pulau Pinang, beliau juga gemar mencuba pelbagai jenis makanan tempatan. Setiap malam selepas solat Maghrib, beliau akan membaca Al-Quran. Beliau juga sering menulis nota dalam tulisan Jawi.
Karangan Shakespeare kegemarannya ialah Julius Caesar, manakala tokoh yang paling mempengaruhinya, selain daripada keluarganya sendiri, ialah Tun Abdul Razak yang dianggapnya sebagai mentor.
Abdullah Ahmad Badawi turut menulis sebuah puisi bertajuk Ku Cari Damai Abadi, yang mendapat sambutan baik daripada para sasterawan Malaysia dan telah diterjemahkan ke lebih daripada 80 bahasa dunia. Projek ini dikendalikan oleh Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev. Dalam prakata kepada buku terjemahan puisi tersebut, Dinsman menulis: “… Puisi itu pun sebuah puisi yang baik mutunya. Dalam hanya beberapa untaian kata, dengan ungkapan-ungkapan yang bernas, ia berhasil menyampaikan mesej dan makna yang besar, mendalam, luas lagi suci.”
Salah satu peristiwa dunia yang memberi kesan mendalam kepada beliau ialah tragedi 9/11, yang mendorongnya memperjuangkan pendekatan Islam yang sederhana. Beliau juga merupakan pencetus gagasan Islam Hadhari.
Allahyarham Tun Abdullah mempunyai minat mendalam terhadap kereta, namun jarang berpeluang memandu sendiri atas faktor keselamatan. Untuk menghilangkan tekanan kerja, beliau gemar bermain golf, bersenam, atau meluangkan masa bersama cucu-cucunya. Beliau juga meminati pertunjukan muzikal — My Fair Lady antara kegemarannya — serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau turut memiliki sebuah iPod Nano dan menghargai hasil seni tempatan. Abdullah merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu serta anyaman rotan.
Semoga Allah Merahmati dan Mencucuri Roh Keatas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi
Average Rating