Apabila ada keupayaan kita menjadi kerajaan, maka harus memperlihatkan sikap yang berbeda. Kalau kita sebut umpamanya masyarakat Madani memperkasa budaya, tetapi program kita semuanya hampir sama cuma baik sedikit. Kalau rasuah kurang sedikit dari dulu. Kalau tolong rakyat lebih sedikit dari dulu.
Ini bukan Reform. Reform itu islah mastata’tu, iaitu perubahan sedaya upaya kita.
Kita bicara wacana sekarang. Umpamanya kita bicara soal perpaduan Melayu di suatu pihak. Dan sekarang pula baru gembar gembur penyatuan rakyat Malaysia. Dua-dua ada kebaikannya. Tetapi untuk apa Melayu bersatu? Untuk apa kita satukan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan? Kerana lebih baik untuk Malaysia?
Tidak. Persatuan dan perpaduan itu untuk satu cita-cita yang lebih murni dan luhur. Tidak bermakna bersatu tanpa ada usaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Tidak bermaknanya bersatu jika bersatu seperti mana di dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk, bersatu menjadi penyamun!
Bersatu, kekuatan perpaduannya cukup mantap. Jadi, pengalaman penyatuan rakyat samada Melayu atau rakyat Malaya ketika itu, kemudiannya Malaysia bukan sesuatu yang baru. Yang tempangnya ialah tidak ada hasrat yang tegas pertahankan keperluan Reform di dalam negara kita. Keperluan untuk menegakkan keadilan dan menegakkan kebenaran. Ini yang tempang di masyarakat kita termasuk yang menyuarakan dan menuntut penyatuan besar, gagasan baru.
Gagasan itu perlu untuk apa? Untuk membawa perubahan kepada kebaikan.
Ini yang saya rasa dalam wacana politik mutakhir ini pun ada ketempangan. Sebab itu kita kadang-kadang harus ada sikap yang lebih tawadu’ di kalangan orang politik ini untuk cuba menggali khazanah seni dan budaya kerana mereka itu banyak menulis dari segi hati nurani. Umpamanya karya Dari Derita Rakyat itu tidak hanya memperbesarkan tokoh tapi ditekankan isu kezaliman dan keperluan negara menyaksikan satu era perubahan baru.
Alhamdulillah kita berjaya pada 2018. Tetapi kita kurang berjaya kerana perubahan kita di dalam Pakatan Harapan itu tidak mampu mempamerkan kepada rakyat bahawa kita sebenarnya mewakili kelompok yang mahu dan inginkan pembaharuan yang membanteras rasuah tanpa mengira kelompok. Kita keras dengan 1MDB dan rasuah di kalangan pimpinan UMNO tapi kita banyak tolak ansur di kalangan puak-puak kita diantaranya menjadi pengkhianat besar. Ini yang menyebabkan hilang idealisme dan hilang paksi perjuangan ini.
Bila kita lihat keperluan perubahan sekarang, saya masih tidak bertolak ansur soal itu. Adakah kita perlu dukungan Melayu? Jawabnya, ya! Adakah ada masalah Melayu yang masih tidak terjawab, tidak mampu dibereskan, keprihatinan Melayu tentang mutu dan martabat Bahasa Melayu? Itu masih belum diselesaikan dan tidak mampu diselesaikan sementara kita berkuasa selama 22 bulan. Kerana kadang-kadang kenyataan kita tentang PPSMI umpamanya bercanggah dengan hasrat memartabatkan Bahasa Melayu.
Kemudian kita lihat umpamanya soal rasuah yang kita sentuh tadi. Keborosan, kemewahan, pembaziran oleh pemimpin-pemimpin masih berterusan. Kronisme masih ada.
Saya tidak mengatakan kita gagal. Kerana tentunya kita mampu meletakkan asas yang lebih baik tetapi tidak langsung memperlihatkan semangat dan keupayaan Reform. Ini yang menyebabkan rakyat rasa kecewa. Kadang-kadang masalah keutamaan kita.
Contohnya masalah kemiskinan, masalah kesenjangan itu masalah pokok. Buku-buku seperti ini (100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi) dibaca kerana mewakili rasa derita denyut nadi golongan tersisih, terbiar dan termiskin.
Kini dengan bencana Covid-19, jumlah kemiskinan jauh melebar lebih besar. Kesenjangan di antara golongan kaya dan miskin lebih tinggi. Lebar parah sekarang. Sekarang kajian-kajian menunjukkan bahawa bencana Covid-19 ini tidak memiskinkan semua rakyat. Ia mampu menjadikan kelompok kecil tertentu lebih kaya dan lebih besar. Orang yang pegang monopoli. Orang yang memegang industi tertentu seperti getah dan sebagainya. Kejayaan mereka itu melambung.
Saya hanya harap orang-orang ini ada sedikit rasa cinta seni dia, seni daripada hati nurani, dia akan merasakan dia perlu buat sesuatu yang lebih kepada rakyat. Kerana tanpa keamanan, tanpa kestabilan politik, tanpa penjawat awam, tanpa penjaja dan pekerja di bawah, tidak mungkin syarikat-syarikat ini mencapai kejayaan yang besar. Kita lihat di dunia sekarang terutama di Barat ada sanggahan keras terhadap orang yang dapat mengumpul kekayaan berbilion-bilion, atau trilion dolar tambahan akibat Covid-19. Tetapi tidak mencurahkan sebahagian besar kepada rakyat. Jadi seperti orang yang membina ‘mahligai di atas pusara’ rakyat.
Ini juga yang kita sering tegur di Parlimen bagaimana pemimpin-pemimpin politik sekarang memikirkan kedudukan mereka, elaun mereka dan kurang memberikan pertimbangan terhadap masalah dan derita rakyat.
Bagi saya kalaupun kita mahu buat perubahan dengan segala percaturan politik itu, dengan simpang siurnya, yang sama yang kita boleh jiwai ialah tidak boleh tolak ansur dari segi cita-cita membawa perubahan ke arah kebaikan. Islah mastata’tu itu mesti membawa perubahan sedaya upaya.
Maknanya selagi rasuah itu menjadi sistemik di dalam negara kita, tidak mungkin kita dapat selesaikan sebahagian besar masalah.
Mahu tonjolkan tokoh, mahu tonjolkan sahabat. Ya, dengan segala kecatatannya yang lalu. Yang tidak boleh disangkal ialah kenyataan bahawa tokoh yang harus membawa perubahan itu mesti tegas untuk menjamin keselesaan hidup rakyat.
Orang politk ini memang ‘pakar janji’. Tulisan saya semasa zaman muda, waktu ABIM hinggalah jadi menteri dalam kerajaan, soal pemerkasaan budaya itu, soal kecelikan budaya tidak pernah saya tinggalkan. Maka bila saya katakan bahawa corak dan rupa bangsa negara Malaysia ini harus dilihat dari segi kehebatan memacu ekonomi yang segar, sama hebat dengan usaha dan ikhtiar kecelikan budaya dan pemerkasaan seni budaya tanah air.
(Anwar Ibrahim, 29 Disember 2020)
https://www.facebook.com/groups/ISLAHMEDIANOW/permalink/3813316728732634/
(Ucapan DSAI pada 29 Disember 2020 di Institut Darul Ehsan (IDE))
Di transkripsi dan dipetik oleh I S L A H M E D I A
NOTA
Petikan Ucapan DSAI merasmikan Majlis Peluncuran dan Wacana Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011 karya Datuk Che Shamsudin Othman @ Dinsman yang akan disempurnakan oleh YB Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada Selasa, 29 Disember 2020 di Institut Darul Ehsan, anjuran IDE dan PAKSI.
Average Rating