KEMELUT POLITIK PERAK: ANTARA KUASA DAN KEPENTINGAN RAKYAT?

KEMELUT POLITIK PERAK: ANTARA KUASA DAN KEPENTINGAN RAKYAT?

0 0

SIRI FAKTA & ANALISIS IDE

KEMELUT POLITIK PERAK: ANTARA KUASA DAN KEPENTINGAN RAKYAT?

Polemik politik di Negeri Perak amat menarik untuk dikaji dari sudut sejarahnya yang ada keunikan tersendiri. Wujud hampir tujuh situasi kepelbagaian peristiwa yang mencetus kepada polemik politik, antaranya ialah:

  1. Kebangkitan Dato Maharaja Lela menentang British pada tahun 1875, mencetus kemarahan British terhadap politik lokal Perak.
  2. Kebangkitan ulama pimpinan Ustaz Abu Bakar Bakir pada tahun 1948 di Gunung Semanggol, membawa impak kepada politik Tanah Melayu.
  3. Konflik Tan Sri Haji Mohamaed Ghazali bin Haji Jawi dengan pihak Istana Perak pada tahun 1960 dan 1974, yang membawa kepada pertukaran Menteri Besar.
  4. Sidang DUN bawah pokok akibat daripada krisis dan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada Februari 2009.
  5. Dinamiknya Penubuhan Kerajaan Pakatan Harapan Perak ketika berlakunya perubahan Kerajaan BN kepada Pakatan Harapan pasca PRU 14 pada bulan Mei 2018.
  6. Peralihan Politik Perak 2020 (Februari – Mac), kesan “Langkah Sheraton” yang mengakibatkan peralihan sokongan ADUN, satu dari KEADILAN, AMANAH dan dua orang wakil rakyat DAP. Fenomena yang digambarkan sebagai “Lompat” dan “Khianat”.
  7. Krisis Undi Percaya Terhadap Menteri Besar pada 4 Disember  2020.

Polemik terkini politik Negeri Perak merupakan suatu yang boleh dijangka susulan daripada terbenamnya politik moral dan idealisme apabila mandat rakyat dalam PRU14 dikhianati melalui peristiwa  “Langkah Sheraton yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan setelah 22 bulan berkuasa.

Kesan pertukaran Kerajaan Pusat daripada Pakatan Harapan kepada Pakatan Nasional telah memberi kesan kepada negeri-negeri yang turut mencetuskan peralihan kuasa antara lainnya ialah Negeri Perak, Kedah, Melaka, Johor dan termasuk Sabah. Umum mengetahui bahawa komposisi kerusi politik DUN tidak didominasi oleh mana-mana parti politik. Kedudukan kerusi ada  yang terlalu tipis perbezaannya antara koalisi Kerajaan dan Pembangkang.

Komposisi Kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Keputusan PRU14 memperlihatkan kemenangan parti-parti politik seperti berikut:

Komposisi ini menjadikan tertubuhnya Kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU 14 dengan gabungan komposisi berikut iaitu Pakatan Harapan, 29 kerusi sebagai Kerajaan dan Barisan Nasional 27, Pas 3 kerusi. 

Namun pada ketika itu, YB Dato’ Faizal Azumu, BERSATU berjaya membentuk kerajaan negeri setelah mendapat sokongan ADUN Sungai Manik (menyertai BERSATU) dan ADUN Tualang Sekah bagi membentuk kerajaan.

PH dapat membentuk Kerajaan Negeri dengan 30 kerusi dan satu ADUN (DUn Tualang Sekah) menyatakan sokongan kepada YB Dato’ Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak. Gabungan pembangkang iaitu UMNO/BN dan PAS adalah hanya 29 kerusi. Hanya dengan kelebihan 1 kerusi, PH kekal hingga 22 bulan tanpa sebarang masalah dan isu-isu politik diselesaikan dalam semangat rundingan bersama atas semangat demokrasi.

Peristiwa “Langkah Sheraton” pada Februari 2020, telah mengabsahkan satu strategi politik taktikal yang membawa perubahan kerajaan tanpa proses pilihan raya. Demokrasi Malaysia melalui proses politik “lompat” dan politik “khianat” di luar kerangka politik adiluhung yang berprinsip.

Kesannya turut merubah landskap politik Perak dengan berlakunya peralihan sokongan empat orang ADUN iaitu satu dari KEADILAN, satu dari AMANAH dan dua daripada DAP beralih menyokong penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Pakatan Harapan hanya tinggal 24 kerusi DUN sahaja.

YAB Dato Faizal Azumu, BERSATU, terus menjadi Menteri Besar di bawah Kerajaan Perikatan Nasional bersama dengan UMNO dan PAS yang membentuk komposisi 35 kerusi. Kecelaruan politik negara mula terjelma apabila berlaku “Langkah Sheraton” pada Februari 2020. Politik Malaysia tidak pernah aman sejak daripada langkah ini. Kelebihan 11 kerusi DUN di Perak, sepatutnya menjadi kerajaan PN di Perak boleh menjadi sebuah kerajaan yang kukuh.

Kerajaan PH walaupun berkelebihan dengan satu kerusi, mereka terbina dengan semangat reformasi. Matlamat kerajaan PH bukan semata untuk kuasa tapi kuasa yang ada di tangan untuk berbakti kepada rakyat. Bagi PH kuasa adalah amanah/tanggungjawab  bukannya kemegahan/kebanggaan (Taklif wa la Tashrif).

Berbeza dengan kerajaan PN Perak selama 10 bulan walaupun mereka  berada dalam satu kerajaan, namun mereka mempunyai matlamat dengan cita-cita masing-masing. Kehadiran kesamaan mereka hanya untuk berkuasa sahaja. Mereka seperti kata pepatah “tidur sebantal tapi mimpi masing-masing”. Malah mungkin jauh lebih teruk lagi mereka bertindak seperti  “gunting dalam lipatan” dan umpama “enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing”. Masing-masing cuba meluaskan wilayah pengaruh mereka kepada rakyat. Adakah wujudnya fenomena pengkhianatan atas pengkhianatan?.

Justeru, timbul satu persoalan yang sedang dicermati oleh rakyat, iaitu adakah semangat perpaduan politik dalam Perikatan Nasional benar-benar tulen (Genuine), ikhlas atau sebaliknya. Ini jelas, membawa kepada analisis seolah-olah mencabar kedudukan Parti Bersatu dalam Pakatan Nasional apabila Menteri Besar Perak dalam waktu yang sama adalah Timbalan Presiden Bersatu.

Bahkan, kesan krisis politik di Perak mampu menjadi suatu “Domino Effect / Impak Domino” kepada kerjasama Perikatan Nasional di negeri-negeri lain yang amat rapuh dari sudut komposisi kekuatan kerusi khususnya di negeri Johor, Melaka bahkan boleh juga mencetuskan fenomena sama kepada Negeri Sabah.

Psikologi Politik Pemain Kuasa

Suatu faktor yang pastinya unik di Malaysia dalam perbincangan sains politik ialah, politik Malaysia diperintah oleh Parti Politik yang hanya menguasai minoriti kerusi. Jelas sejak dari PRU14, Mei 2018, penguasaan parti yang membentuk kerajaan dikuasai oleh Parti Bersatu yang tidak menguasai kekuatan jumlah kerusi dan hanya berkuasa atas nama kerjasama politik. Hal ini berterusan semasa kerajaan Pakatan Harapan, Kerajaan Perikatan Nasional, Pilihan Raya Negeri Sabah dan termasuk dalam percaturan pembentukan kerajaan negeri seperti Perak.

Kesan psikologi politik wujud apabila timbul rasa tidak puas hati dan juga kegagalan parti-parti dalam Perikatan Nasional mencapai persetujuan seperti mana yang berlaku di Perak. Menteri Besar dari Parti Bersatu mengetuai pemerintahan dalam keadaan kerusi partinya berkurangan dalam komposisi DUN Negeri dan juga tidak kukuh di peringkat akar umbi. Psikologi ini akan sentiasa menghantui jika pemain politik tidak dapat mengurus konflik politik dengan bijak.

Apakah pilihan yang ada untuk politik Negeri Perak?

Melihat kepada suasana yang ada, wujud empat senario yang mungkin bakal berlaku iaitu:

Pertama: Pilihan untuk berlakunya rekonsialisasi politik antara parti-parti politik dalam Perikatan Nasional membentuk persepakatan baru dalam menentukan siapakah Menteri Besar Perak di kalangan ADUN-ADUN Perikatan Nasional.

Kedua: Wujudnya suatu konfigurasi politik baru merentas Perikatan Nasional bagi membentuk Kerajaan bersama dengan Pakatan Harapan atau secara terpisah antara parti-parti Pakatan Harapan samada KEADILAN, AMANAH dan DAP.

Ketiga: Mewujudkan Kerajaan Perpaduan atau “Unity Government” dengan mengambil semangat ‘gencatan politik’ demi kepentingan rakyat untuk semua parti-parti secara kolektif menjalankan proses demokrasi secara bersama.

Keempat: Pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri sama seperti PRN Sabah. Namun, pilihan ini terhad atas kepada faktor permohonan untuk pembubaran kepada DYMM Sultan Perak untuk diperkenankan. Pihak Istana telah mengeluarkan saranan agar parti-parti dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk berbincang dan bermuafakat mencari jalan membentuk kerajaan demi kepentingan rakyat.

Kelima: Jika krisis berpanjangan dan gagal ditangani dengan baik maka ia boleh mencetuskan senario meletakkan Negeri Perak dalam kedudukan darurat dan MAGERAN sama seperti yang berlaku dalam krisis politik negeri Kelantan pada November 1977 hingga Februari 1978. (Nota: Senario mungkin berbeza kerana antara faktor yang mencetus MAGERAN ketika itu di Kelantan adalah disebabkan ketenteraman awam terganggu).

Pilihan keempat dan kelima bukannya pilihan terbaik dalam suasana kemelut kesusahan rakyat kini menghadapi pendemik wabak COVID 19. Survei Mood Rakyat Malaysia 2020 (Mood of the Nation) yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) pada Jun 2020 menunjukkan hanya 10% rakyat Malaysia sahaja yang mahukan pilihan raya diadakan dalam suasana kini.

Pungutan Suara Rakyat yang dijalankan oleh IDE pada 24 Oktober 2020 berkaitan pilihan darurat, 77.39% rakyat Malaysia menolak perisytiharan darurat. 

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya untuk kesemua ADUN Perak untuk mencari suatu permuafakatan politik bagi mendahulukan kepentingan rakyat dengan prinsip politik adiluhung atau politik berprinsip yang mengutamakan keadilan, keseimbangan dan perpaduan rakyat.

Khairul Arifin Mohd Munir
Kamarulbahrin Zahid
Pengurus Kanan, Institut Darul Ehsan (IDE)

About Post Author

Khairul Arifin

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish