USIM, Nilai, 25 April 2025 – Dengan semangat solidariti #IhsanUntukPalestin, Usrah Madani Siri 8.0 berjaya dianjurkan dengan cemerlang, kali ini mengetengahkan tajuk penting bertajuk “The Future of Palestine”. Wacana ilmiah ini menampilkan dua tokoh pemikir terkenal, Prof. Mustapha Syeikh dan Prof. Salman Sayyid dari Leeds University, United Kingdom, sebagai ahli panel.
Majlis yang dikendalikan dengan penuh cermat oleh Prof. Madya Dr. Norfadhilah menyaksikan perbincangan yang mendalam, interaktif dan menyentuh isu-isu teras berkaitan masa depan Palestin.
Prof. Mustapha membuka sesi dengan mengupas konsep “Palestinian Culture of Sumud or Resistance” serta bagaimana konsep ini membentuk asas ketahanan dan perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan berterusan. Beliau mengaitkan elemen budaya ini dengan halatuju dan masa depan Palestin.
Sementara itu, Prof. Salman menekankan bahawa masa depan Palestin tidak boleh dilihat secara terpisah daripada masa depan dunia secara keseluruhan. Beliau merumuskan, “The future of Palestine is our future,” dan menegaskan bahawa jika dunia terus membiarkan genosid, penghapusan etnik dan dasar apartheid seperti yang berlaku di Palestin tanpa tindakan, ia boleh merebak seperti wabak dan mengancam kestabilan global. Tambahnya lagi, normalisasi Islamofobia dan justifikasi jenayah kemanusiaan adalah antara risiko besar yang perlu ditangani segera.
Pandangan ini turut seiring dengan amaran Pelapor Khas PBB mengenai Palestin, Francesca Albanese, yang pernah menyatakan: “…if it is not forced to stop, Israel’s genocide of Palestinians will not be confined to Gaza.”
Institut Darul Ehsan (IDE) turut diwakili dalam wacana ini oleh En. Khairul Ariffin Mohd Munir, Pengurus Kanan Penyelidikan dan Data Analitik IDE Research Centre.
Wacana ini berlangsung secara dinamik dengan penglibatan aktif para peserta yang mengemukakan pelbagai soalan dan pandangan, mencerminkan tahap kesedaran dan keprihatinan tinggi masyarakat terhadap isu Palestin.
Average Rating