SHAH ALAM, 7 Mei 2025 – Isu pemerkasaan wanita dan jurang gender di Malaysia menjadi fokus utama dalam Sidang Diskusi Madani 01/2025 yang berlangsung pagi ini di Universiti Selangor (UNISEL), Shah Alam. Diskusi ini dianjurkan oleh IDE Research Centre (IDE) dan UNISEL, dengan kerjasama IESAD UNISEL, Pertubuhan Penyelidikan Sosial dan Komuniti (PPSK), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS UPM), Persatuan Wanita Anggerik Malaysia, serta Pertubuhan Kumpulan Profesor G70.
Sidang dimulakan dengan pembentangan utama oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, yang menekankan kepentingan penggunaan data statistik dalam merangka dasar dan advokasi berimpak tinggi bagi menangani isu jurang gender. Berdasarkan dapatan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2024, beliau menyoroti beberapa penemuan utama yang mencerminkan kemajuan dan cabaran yang masih wujud.
Antara dapatan yang dibincangkan termasuklah:
- Jurang ketara dalam bidang politik, yang menunjukkan keperluan mendesak untuk penglibatan wanita secara lebih bermakna dalam proses membuat keputusan di peringkat nasional.
- Jurang dalam pendidikan dan kesihatan yang semakin mengecil, mencerminkan pencapaian positif hasil usaha berterusan pelbagai pihak.
- Jurang ekonomi yang masih sederhana, memerlukan pendekatan strategik agar wanita tidak terpinggir dari peluang dan pembangunan ekonomi negara.
Dato’ Sri Dr. Uzir turut menggesa semua pihak, khususnya masyarakat sivil, agar memanfaatkan data terbuka yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui portal dan aplikasi mudah alih, bagi merangka pendekatan advokasi berasaskan bukti (evidence-based advocacy) demi mencapai kesaksamaan gender sebenar. Beliau juga menekankan keperluan untuk mengkaji data mengikut daerah dan negeri agar dasar dan inisiatif yang digubal lebih relevan dengan keperluan setempat.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman, Naib Canselor UNISEL merangkap Pengerusi Eksekutif IDE, yang menegaskan komitmen UNISEL dan IDE untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pemerkasaan wanita dan menyempitkan jurang gender melalui platform ilmiah dan wacana konstruktif seperti ini.
Sidang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang dan telah menghimpunkan para akademik, penyelidik, aktivis masyarakat sivil dan pembuat dasar bagi mendalami isu-isu kritikal berkaitan wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia.
Average Rating