AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

0 0

Pertamanya, kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan  acara-acara ibadah dan antaranya yang dapat kami sebutkan di sini dalam menyambut kedatangan Ramadhan ialah:

  • Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah ﷺ berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)

Cara Menyambut Ramadhan

Terdapat beberapa cara untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan agar kedatangannya memberikan rahmat dan keberkatan buat kita. Antara yang dapat kami nyatakan di sini ialah:

  1. Perbaiki Niat

Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.

(Al-Bayyinah: 5)

Tanpa niat maka ianya tidak dikira sebagai ibadah boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat kita untuk mengahadapi Ramadhan ini hanya kerana Allah ﷻ. Jika jantung hati telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah ﷻ maka amal perbuatannya selepas itu akan menjurus kepadanya juga.

  1. Berdoa

Jika kita melihat perihal golongan salaf dalam menyambut Ramadhan, antara yang diamalkan oleh mereka adalah dengan berdoa. Begitu juga dengan Nabi ﷺ yang mana di dalam sebahagian hadith  meriwayatkan mengenai perihal doa Nabi ﷺ untuk diberkati di dalam bulan Ramadhan dan juga ketika melihat anak bulan Ramadhan. Antara doa-doanya telah kami sebutkan pada perbincangan di atas.

Meskipun sesetengah hadith tersebut tidak mencapai taraf sahih namun ianya boleh diamalkan berdasarkan keumuman berdoa selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak dan mestilah tidak menyandarkan doa tersebut pada Nabi ﷺ.

Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah  selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah  menerima daripada mereka amalan mereka”.

Beliau juga menyebut daripada Yahya bin Abi Kathir iaitu di antara doa para salaf itu ialah: “Ya Allah, selamatkanlah (sampaikanlah) diriku hingga ke bulan Ramadhan, terimalah (pahala) Ramadhan untukku dan perkenankanlah amalanku di bulan Ramadhan”.

  1. Memperbanyakkan Membaca Al-Quran

Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Firman Allah ﷻ:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

(Al-Baqarah: 185)

Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA menyebutkan:

أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi  pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi , Jibril mengulangnya sebanyak dua kali.

Riwayat Al-Bukhari (4998)

Mari kita lihat keadaan salaf dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, semoga dengannya dapat membangkitkan semangat kita dalam beramal soleh:

  • Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51]
  • Adalah Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]
  • Daripada Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat Al-Tibyan li al-Nawawi, hlm. 74]
  • Telah berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36]
  • Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran.
  • Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”.

Begitulah keadaannya para salaf apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya.

  1. Bersedekah & Memberi Makan

Dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏

Maksudnya: Adalah Nabi  seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi  pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah  menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.

Riwayat Al-Bukhari (3554)

Banyaknya Nabi ﷺ bersedekah pada bulan Ramadhan  menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: ‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: ‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ ‏

Maksudnya: Ditanyakan Nabi  puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi : Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi : Sedekah di bulan Ramadhan.

Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.

Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Ianya juga adalah dari jenis sedekah bahkan mempunyai ganjarannya yang tersendiri. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang mana Baginda telah bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.

Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.

  1. Qiyam

Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah  dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah ﷻ. Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian.  Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ianya sepertimana sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah  telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.

Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327)

Maka rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan amal-amal yang lain di siang harinya agar tawaran yang telah disediakan oleh Allah ﷻ ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.

Telah berkata Dr. Sayyid al-Affani: “Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadhan dengan taubat nasuha kepada Allah  dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”

Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1157-bayan-linnas-siri-62-ahlan-wa-sahlan-ya-ramadhan

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish