Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan lantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada Sabtu ini. Menurut kenyataan itu, lantikan Shamsul Azri juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata, lantikan tersebut berkuat kuasa Isnin depan.
“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai KSN yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 0gos 2024,” Pejabat Perdana Menteri
Shamsul Azri, 55, berkelulusan ljazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat. Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD). Tambahnya, Shamsul mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Zuki bin Ali atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.
“Khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya,” menurut kenyataan tersebut.
Average Rating