20 Julai 2024, Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi meneruskan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Berangkat tiba di Anjung Utama Istana Negara ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Berangkat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif. Turut berangkat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertabalan berkenaan ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.
Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu juga menyempurnakan peruntukan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, selain bukti kesinambungan pemerintahan raja Melayu dengan sistem pelantikan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir yang hanya diamalkan di Malaysia.
Istiadat penuh gilang-gemilang itu pastinya dinantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia, selain menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa, sekali gus mempamerkan keunikan dan keutuhan warisan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.
Istiadat pertabalan dihadiri 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara termasuk Bernama TV.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan 2024.
— Sumber Agensi Berita
BERNAMA & Berita Harian
Average Rating