Kawasan Dewan Undangan Negeri Pualau Pinang, N20 Sg. Bakap mempunyai komposisi pengundi yang bercampur. 59.2% pengundinya adalah dari kaum Melayu, 17.2% kaum India dan 22.4 % adalah pengundi dari kaum Cina. Selama 3 penggal berturut-turut ia dimenangi oleh calon dari PR/PH bermula dari pilihanraya ke 12 (2008). Hanya pada Pilihanraya Umum Negeri 2023 yang lalu ia dimenangi oleh calon dari Perikatan Nasional dengan majoriti sekitar 1563 undi.

Pada Pilihan raya Umum 2022, secara amnya mengetahui pada ketika itu suatu gelombang hijau pengundi Melayu yang berasa terancam telah berlaku. Ia turut memangsakan beberapa kerusi utama PKR seperti Permatang Pauh dan kerusi UMNO iaitu Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Tasek Gelugor. Gelombang itu terus meningkat pada Pilihan Raya Negeri selepas itu yang mana menyaksikan kerusi-kerusi DUN PH berjaya dirampas oleh PN walau pun gabungan PHBN telah pun berlaku ketika itu.
Naratif yang dibawa bagi membina gelombang itu adalah Kerajaan Perpaduan tidak memihak kepada kaum Melayu dan tidak mampu bertahan lama. Namun setelah hampir 2 tahun, segala yang didakwa adalah tidak berasas sama sekali. Kerajaan perpaduan semakin kukuh dan kaum Melayu mendapat manfaat tanpa kerugian seperti yang didakwa.
Maka timbullah persoalan, adakah gelombang hijau akan dapat terus dipertahankan atau sudah mencapai kemuncaknya dan mula mengalami fasa penurunan. Jika diamati keputusan pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu, corak gelombang hijau sudah tidak menunjukkan peningkatan. PH BN mula mendapat tempat di hati pengundi Melayu (peningkatan sekitar 3%) dan terus menjadi pilihan pengundi bukan Melayu.

Peratusan undi Melayu banyak dipengaruhi oleh arah ayunan pengundi tegar UMNO. Kali ini UMNO perlu memperlihatkan sokongan yang tidak berbelah bahagi sebagai membalas sokongan yang bulat kepada calon UMNO di DUN Sg. Acheh yang menyaksikan kemenangan dengan majoriti 124 undi sahaja. Jika undi UMNO dilihat memenangkan calon PN tidak mustahil wujud pertikaian dalam kalangan penyokong PH nanti.
Segmen undi Melayu memperlihatkan ia terbelah kepada dua bahagian. Pertama pengundi yang berumur 18 hingga 40 tahun dilihat lebih cenderung untuk memihak kepada PN manakala pengundi 40 tahun ke atas kecenderungannya adalah kepada PHBN. Oleh itu strategi yang betul diperlukan bagi memastikan sokongan dapat diraih dari kelompok pengundi yang dihajati.
Kegusaran terhadap sokongan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi seharusnya tidak besar kerana tarikh mengundi jatuh pada 6 Julai 2024 iaitu hujung minggu yang panjang kerana cuti sempena Awal Muharam. Cuma ia memberikan kelebihan dan kekurangan jika strategi untuk menawan sokongan pengundi luar tidak menjadi.

Faktor peribadi calon juga memainkan peranannya yang tersendiri. Kedua-dua calon adalah anak tempatan. Mereka membesar dan membina kerjaya di kawasan Nibong Tebal. Namun calon PH dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari sudut pencapaian akademik. Penglibatan beliau dengan masyarakat terutamanya sebagai pendidik mampu menarik sokongan. Calon PN juga dilihat ada kelebihan yang tersendiri kerana aktiviti kemasyarakatannya yang meluas dan menyeluruh.
Saya melihat 2 segmen pengundi menjadi rebutan pihak-pihak yang bertanding. Pertama adalah segmen pengundi muda. Pengundi muda adalah pengundi yang masih belum benar-benar tegar dengan sokongan mengikut parti. Mereka banyak dipengaruhi oleh isu-isu semasa. Mereka juga tidak berminat untuk hadir mendengar ceramah-ceramah kelompok. Mereka lebih tertumpu kepada maklumat yang diperolehi dari media sosial.
Dari kajian yang dilakukan IDE kami juga dapat mengesan pengaruh ibubapa dalam menentukan pilihan pengundi muda agak signifikan. Justeru itu persaingan mendapatkan sokongan pengundi muda menjadi semakin kompleks dan mencabar.
Segmen yang kedua adalah segmen pengundi Melayu. Terdapat andaian bahawa PN tidak begitu menumpukan segmen pengundi bukan Melayu. Yang lebih menarik lagi ia difokuskan kepada pengundi tegar UMNO. Pihak PN percaya bahawa sokongan kelompok ini masih bersama mereka. Jika dilihat di PRK Kuala Kubu Baharu memang ada asasnya. Walaupun ada perubahan dalam kalangan sokongan kaum Melayu kepada PH namun ia dilihat masih kukuh bersama PN.
Pada PRN yang lalu didapati peratusan keluar terendah bagi pengundi Melayu di Sg. Bakap adalah pengundi yang berusia 61 tahun ke atas. Siapakah mereka ini? Kemungkinan mereka adalah pengundi tegar UMNO. Saya berandaian demikian kerana perkara ini tidak terjadi di DUN Sg. Acheh.
Jika situasi masih lagi sama tidak mustahil PN mampu mengekalkan kemenangan. Namun PN tidak boleh bergantung kepada situasi sebegini sahaja. PN perlu untuk meningkatkan sokongan pengundi bukan Melayu, terutamanya dari kaum India. Terdapat DM yang menunjukkan pengundi India memberikan jumlah undi yang agak signifikan kepada PN.
Kesimpulan yang dapat dibuat adalah tiada pihak yang berada dalam keadaan selesa. PH BN dan PN perlu berusaha kerana selisih majoriti diramalkan amat kecil. Peluang untuk kedua-dua parti yang bertanding memenangi pilihan raya kecil kali ini masih terbuka.
Pertarungan di media sosial juga dilihat lebih seimbang. Kedua-dua pihak sudah mula berkempen menggunakan media ini lebih awal lagi. Serangan-serangan yang keterlaluan setakat hari ini jauh berkurangan dan ini memberikan ruang yang lebih adil kepada kedua-dua pihak.
Tn. Hj Amidi Abd Manan merupakan Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan
26 Jun 2024.
Average Rating