07 Mei 2024, Kuala Kangsar: Institut Darul Ehsan diwakili oleh En Khairul Ariffin Mohd Munir (Pengurus Kanan Penyelidikan) dan En Sharipuddin Muis (Pengurus Kanan Pentabiran) menghadiri Seminar & Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang berlangsung di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.
Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Almarhum) dengan tema Islah dan Tajdid dalam Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek yang merupakan anak kedua Almarhum Prof. Dato Dr. Siddiq Fadzil. Turut hadir bersama Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Naib Canselor Unisersiti Selangor, Prof. Emer. Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yapar, Universiti Sains Malaysia, Dato’ Hj Ahmad Azam Abd Rahman, Presiden WADAH dan barisan panel seminar.
Dalam membangun Malaysia Madani, keterangkuman dimensi intelektual dan kerohanian dalam keseimbangan pembangunan kapasiti fizikal-lahiriah harus menjadi keutamaan lebih-lebih lagi di zaman pascanormal. Almarhum Dato’ Dr. Siddiq Fadzil mencermati pemikiran menuntut ketekunan yang tinggi. Geneologi pemikirannya dapat ditelusuri daripada artikulasi idea dan tatanan tema-tema bahasan yang sering almarhum ungkapkan.
Bi’ah sepertinya yang terbangun diperkukuh hasil sokongan rakan-rakan seangkatan dalam perjuangan, lewat kegiatan “re-education” dan “self-reform” seperti “usrah” dan “tamrin” yang memadukan pelbagai unsur seperti keilmuan, budaya membaca dan harakiy.
Almarhum telah merubah paradigma berfikir dan cara bersikap serta membenih bi’ah keilmuan dari sahabat karibnya yang kini Perdana Menteri Malaysia , Sdr Anwar Ibrahim (YAB Datuk Seri)
Saudara Anwar lah orangnya yang mengubah Almarhumdaripada menjadi seorang “Ustaz tipikal” kepada seorang “ideolog dan murabbi”. Malah Saudara Anwar sendiri bertanggungjawab mengadun fikrah gerakan awal ABIM dengan memperkenalkan karya-karya besar dan tokoh-tokoh pemikir dunia kepada Almarhum Prof. Dato Dr Siddiq sekaligus membuka horizon berfikir baharu, seraya mencetuskan semarak dan gelombang kebangkitan Islam hingga ke hari ini.
Dalam konteks memahami Islam sebagai “nizam ‘ul-hayah”– “way of life”, Almarhum Prof. Dato Dr. Siddiq terinspirasi dengan pemikiran terpadu aktivisme-intelektualisme bernuansa harakah dan perjuangan hasil renungan para pemikir-pejuang seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududi, Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi, Muhammad Natsir, Badi` alzaman Sa`id al-Nursi, Sa’id Hawwa dan ramai lagi.
“Almarhum bapa saya adalah orang kampung. Orang Bagan Datuk, masuk sekolah memang tak reti cakap melayu cuma pandai cakap jawa. Jadi apabila beliau masuk ke Sekolah Menangah Agama Izzuddin, disitulah bermulanya dunia aktivisme dan bagaimana pemikiran-pemikiran beliau dibentuk ketika itu.” Ujar Fadhlina dalam merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.
tambahnya lagi “Sebagai seorang yang sangat dikenali pada ketika itu, seorang yang traditional, apabila menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia, pemikiran beliau juga berubah dan satu perkara yang beliau sering sebut adalah bagaimana seorang ustaz seperti beliau dipaksa membaca karya-karya besar seperti Paulo Freire dan sebagainya, dan diminta oleh Anwar Ibrahim untuk disyarahkan di kampung-kampung, jadi dia kata memang adalah satu ujian dan cabaran yang cukup besar, apabila ustaz seperti beliau perlu mensyarahkan seperti Paulo dikalangan orang kampung” Ujar Fadhlina.
Bagi almarhum, kaum intelektual adalah suatu kelompok penting dalam membangun masyarakat yang madani. Beliau tekankan percontohan terbaik umat, Ar-Rasul SAW yang memberikan penegasan bahawa Baginda diutus Tuhan sebagai seorang guru – “Innama bu’ithtu mu’alliman” (Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru)
Berbicara tentang Melayu, almarhum berjaya mengungkap konseptualisasi yang benar dan rasional, tanpa terjerat dalam jerangkap “asobiyah qaumiyah” yang sempit. Ternyata apresiasi beliau terhadap peranan Islam, sebagai pencorak watak Melayu baharu diberikan perhatian secukupnya. Citra Melayu dalam sejarah diungkap dengan bernas, menangkis pencitraan Melayu yang bernuansa eurosentrik. Secara meyakinkan, almarhum mengetengahkan Islam sebagai unsur paling utama yang membentuk jiwa dan raga Melayu. –
Tonton Siaran Langsung:

Average Rating