Dalam tradisi setiap pentadbiran mempunyai jenama atau slogan tersendiri dan nampaknya konsep Malaysia Madani akan menggantikan slogan Keluarga Malaysia ketika era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Slogan itu sebahagian daripada tema majlis dialog Belanjawan 2023 bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi ini mengenai membangunkan masyarakat madani.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata pelbagai program akan diadakan di seluruh negara untuk mempromosikan konsep masyarakat madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Program ini mencerminkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah masyarakat bertamadun, bebas memberi pandangan dan memupuk perpaduan.

“Ini juga merupakan norma baru masyarakat masa depan yang ideal, menghormati satu sama lain, dapat bergaul dan bekerjasama walaupun berbeza bangsa, agama serta budaya,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Madani dalam akar bahasa Arab bermaksud kota atau peradaban dan dikaitkan dengan kota suci umat Islam Madinah.
Dewan Bahasa dan Pustaka memberi maknda madani sebagai “maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.”
Istilah “masyarakat madani” selalu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “civil society.”

Sumber: malaysiakini
Average Rating