Tarikh pilihan raya umum di Malaysia merupakan tarikh yang sentiasa menjadi teka-teki atau tanda tanya di Malaysia, kerana tarikh pilihan raya umum ditentukan oleh pembubaran parlimen yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri berdasarkan kepada Artikel … Perlembagaan Persekutuan. Malaysia adalah antara negara di dunia yang pembubaran ditentukan oleh kuasa eksekutif. Keadaan ini menjadi satu tidak tentuan apabila tarikh yang sepenting ini tidak dapat di tentukan secara khusus seperti sebahagian negara dunia yang kadang-kadang memberikan sedikit banyak kesan kepada polisi, perancangan dan pengurusan kerajaan serta politik di Malaysia.
Dato’ Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia ke-9 yang menjawat amanah ini sejak 22 Ogos 2021, telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 (Isnin) jam 3:00 petang melalui satu ucapan khas Perdana Menteri setelah mendapat perkenan oleh Yang Di Pertuan Agong. Maka tamatlah pelbagai suasana dan perubahan unik yang berlaku dalam proses demokrasi dan politik negara sejak PRU 14 pada 2018 setelah UMNO/Barisan Nasional jatuh sebagai kerajaan memerintah setelah berkuasa lebih 60 tahun.

Setelah berlaku pelbagai polemik melingkari Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran parlimen sejak awal tahun 2022, kini timbul persoalan tarikh-tarikh penting berkait dengan PRU yang bakal akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setelah Malaysia merdeka selepas 31 Ogos 1957, pilihan raya pertama pasca kemerdekaan adalah pada tahun 1959. Pilihan raya umum Parlimen pada 27 Jun 1959 itu hingga 1969 dianggap sebagai tempoh berkempen PRU yang paling lama dalam sejarah demokrasi di Malaysia iaitu selama 35 hari. Selain 35 hari tempoh berkempen, jumlah hari berkempen adalah sekitar 2 ke 3 minggu. Namun, paling singkat adalah pada tahun 1999 dan 2004 adalah sekitar 9 ke 8 hari. Latar ketika itu ialah strategi yang digunakan oleh Barisan Nasional ketika itu untuk mengelakkan pengaruh Pembangkang yang diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika itu..
Oleh yang demikian, untuk menyemarak proses demokrasi negara khususnya dalam suasana semua Rakyat Malaysia kini layak mengundi menentukan masa depan politik Malaysia maka, pemilihan tarikh PRU atau tarikh membuang undi amat penting. Ini akan membolehkan partisipasi besar rakyat Malaysia dalam dan luar negara untuk keluar mengundi dalam suasana selesa, tenteram dan penuh dengan perkhidmatan sokongan untuk mengundi.
Peratusan keluar mengundi yang tinggi mencerminkan partisipasi tinggi rakyat dan membantu mengukuhkan keabsahan sesuatu kerajaan yang bakal akan dibentuk. Berdasarkan fakta dan survei, majoriti rakyat lebih selesa jika pilihan raya diadakan dihujung minggu (Sabtu atau Ahad) berbanding dengan tengah minggu atau hari bekerja. Sejak 1969, jika pilihan raya umum (PRU) diadakan pada hujung minggu, peratusan turun mengundi adalah melebihi 75%. Paling tinggi peratusan turun mengundi tertinggi ialah pada PRU 14, tahun 2013 iaitu seramai 85% yang mana ketika itu PRU diadakan pada hari Ahad.
Menarik dalam titah YDPA yang dikeluarkan oleh istana, Baginda mengesyorkan PRU diadakan awal sebelum peralihan angin monsun bagi mengelakkan ancaman besar bencana banjir yang dijangka boleh berlaku berdasarkan fakta dan data. SPR akan bersidang pada 20 Oktober 2022 bagi menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari mengundi dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRU 15 dan PRK DUN N.66 Bugaya. Susulan dari pengumuman tersebut dan keperluan mengelak bencana banjir yang bakal melanda, maka secara relatifnya, tarikh yang bersesuaian adalah antara 1hb hingga 12hb November 2022. Difahamkan juga dari pelbagai sumber bahawa ramai graduan Universiti yang sedang melangsungkan Konvokesyan atau Majlis Graduasi Universiti sekitar 5hb hingga 10hb November 2022.
Memilih tarikh yang bersesuaian adalah tanggungjawab SPR untuk menentukannya. Tarikh pembuangan undi yang bersesuaian dan tepat amat wajar diperhalusi bagi memastikan partisipasi rakyat Malaysia dapat wujud secara menyeluruh untuk memastikan kadar keluar mengundi yang tinggi. Pastinya, keunikan PRU 15 ini ditandai oleh penglibatan generasi muda UNDI 18 yang buat kali pertama mengundi. Impak tarikh mengundi dan tempoh mengundi turut mempengaruhi peratusan turun mengundi yang paling tinggi pada PRU 2013 dan 2018 antara 85% dan 82%. Tarikh yang bersesuaian akan membantu menyemarakkan proses demokrasi negara dan memudahkan rakyat untuk turun mengundi.
KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Pengurus Kanan Penyelidikan IDE
ariffin@ideselangor.com
Average Rating