SIARAN MEDIA
LANDSKAP PERSEPSI PENGUNDI JOHOR MENJELANG PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2022
KHAMIS, 10 MAC 2022
Rakyat Negeri Johor bakal untuk memilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Johor ke-15 sebagai salah satu proses demokrasi di Malaysia pada 12 Mac 2022 (Sabtu). Pilihan raya ini diadakan bagi membolehkan pemilihan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baru setelah DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari 2022 dengan perkenan DYMM Sultan Johor.
Pilihan raya Negeri kali ini bakal menyaksikan penglibatan seramai 2,597,742 orang pengundi berdaftar dengan komposisi 2,539,606 orang pengundi biasa, 21,407 orang pengundi awal dan 36,729 orang pengundi pos. Demografi pengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya Negeri Johor dengan komposisi 56.1% Melayu, 37.0% Cina, 6.5% India dan 0.4% lain-lain. Wujud beberapa keunikan utama pilihan raya kali ini iaitu:
- Buat kali pertama pilihan raya dalam Sejarah PRU Malaysia dijalankan selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan kelayakan rasmi sebagai pengundi bermula dari umur 18 tahun;
- Pindaan Perlembagaan juga memberi kesan kepada perlaksanaan daftar pengundi secara automatik dalam daftar pemilih setelah genab umur rakyat Malaysia 18 tahun. Perubahan dasar ini memperlihatkan penambahan undi di Johor berbanding PRU 14, sebanyak 756,247.
- Pilihan raya kali ini juga dilaksanakan dalam era COVID 19 yang kini dalam proses peralihan masuk ke fasa ‘endemik’. Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID 19 masih berkuat kuasa dengan kelonggaran boleh berceramah dan berkempen yang merupakan aktiviti utama dalam proses demokrasi pilihan raya.
- Buat pertama kalinya bagi rakyat Johor yang akan terlibat dalam proses pilihan raya secara berasingan antara pilihan raya pusat dan negeri seperti yang berlaku di Negeri Melaka, Sabah dan Sarawak.
Institut Darul Ehsan (IDE), mengambil peluang demokrasi ini, mengadakan Survei Landskap Persepsi Pengundi Johor Menjelang Pilihan raya Negeri Johor 2022 melibatkan 3200 orang responden pada 18 – 22 Februari 2022. Survei melibatkan 40 orang enumerator terlatih yang merupakan graduan pelbagai Universiti di Johor dan Lembah Klang. Survei dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain dengan kaedah pensampelan secara rawak (random sampling), berperingkat dan berstrata dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e-Survei dan tablet. Survei menepati pensampelan pada Ralat kesilapan 3% pada 95% tahap keyakinan. Survei dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan Malaysia (APDK) dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), UNISEL.
IDE buat pertama kalinya berkongsi dengan rakyat Malaysia hasil dapatan Survei IDE yang boleh dilayari secara interaktif di aplikasi Tableau di DASHBOARD VISUALISASI DATA SURVEI IDE. Antara dapatan kajian yang dipaparkan secara interaktif adalah:
- Profil dan demografi responden.
- Media Sosial yang digunakan untuk mendapat maklumat politik.
- Sumber Berita Utama untuk mendapat maklumat politik.
- Isu Semasa Utama Menjadi Keprihatinan Pengundi.
- Sikap Pengundi Terhadap COVID 19: Mempengaruhi Trend Pengundian.
- Tahap Sokongan secara umum terhadap ADUN dan CALON.
- Kecenderungan umum Pengundian.
Dapatan tersebut boleh disaring untuk melihat trend berdasarkan JANTINA, KAUM dan UMUR.
Nota: Paparan terbaik melalui Web-Desktop
Antara dapatan menarik adalah seperti berikut:
- Trend Keluar Mengundi:
- 30.4% responden menyatakan bahawa ahli keluarga yang tinggal di luar kawasan akan balik mengundi. 49.4% menyatakan bahawa ahli keluarga mereka tidak balik mengundi.
- Hanya 42% responden menganggap COVID 19 tidak menghalang mereka keluar mengundi, namun wujud 35% yang menyatakan ketidakpastian mereka dalam hal ini untuk turun mengundi.
- Trend Media Sosial / Berita TV Utama Untuk Mendapatkan Politik
- Whatsapp, Facebook dan Youtube menjadi medium utama media sosial yang digunakan pengundi untuk mendapatkan maklumat politik
- Bagi pengundi 18-30 tahun mereka cenderung memilih Whatsapp, Instagram dan Tiktok.
- Majoriti pengundi memilih Buletin TV3, Berita TV2/8TV dan Astro Awani sebagai media yang kerap ditonton untuk mendapatkan maklumat politik semasa.
- Bagi pengundi 18-30 tahun memilih Buletin Tv3 dan Astro Awani.
- Trend Kecenderungan Pengundian
- 51.2% pengundi Johor dijangka bakal memilih parti yang sama semasa PRU14. 26.8 peratus menyatakan akan mengubah arah memilih parti yang berbeza. Wujud juga sekitar 5-7% menyatakan tidak akan keluar mengundi.
- Dua faktor utama yang menentukan sikap trend pengundian pengundi di DUN Johor iaitu:
- 37.6 % bakal memilih berdasarkan calon
- 34.8 % bakal memilih berdasarkan faktor parti yang diwakili
- 15.4 % sahaja yang memilih berdasarkan isu setempat yang diperjuangkan
- Faktor keperibadian calon atau sokongan disebabkan faktor parti politik didapati berbeza-beza mengikut trend pengundian di DUN Johor.
- Trend Keprihatinan Terhadap Isu Semasa
- Trend keprihatinan terhadap isu semasa dipetakan dalam survei ini berdasarkan kajian Focus Group Discussion (FGD), mendapati wujudnya 8 hingga 9 isu utama tempatan dan nasional yang menjadi keprihatinan pengundi Johor. Isu-isu ini adalah berbeza dari segi keprihatinan masyarakat berdasarkan kepada DUN dan demografi pengundi.
- EMPAT isu tempatan utama yang menjadi keprihatinan pengundi secara umumnya di Negeri Johor ialah:
- Masalah memiliki rumah
- Masalah infrastruktur
- Peningkatan Kes Jenayah
- Masalah Sosial
- Bagi isu nasional, pengundi Johor amat prihatin terhadap isu-isu berikut:
- Penularan Wabak Covid 19
- Kenaikan Harga Barang
- Ketidakstabilan Politik Negara
- Penyelewengan dan Rasuah
Untuk kenyataan penuh, sila rujuk dokumen Siaran Media;
Secara umumnya, parti-parti politik dan jentera harus bekerja keras untuk memujuk mengundi untuk keluar mengundi melaksanakan hak demokrasi mereka. Rakyat Johor ada yang merasakan sikap bosan dengan politik dan ahli politik yang terbuka dengan pelbagai isu. Peluang masih terbuka kepada semua parti untuk berkempen dan rakyat cenderung untuk membuat keputusan 24-48 jam sebelum pengundian khususnya pengundi muda dan atas pagar yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Selamat Mengundi!
Dikeluarkan oleh: UNIT PENYELIDIKAN IDE
Average Rating