Penyelarasan Gaji Penjawat Awam: Isyarat Kukuh Ke Arah Perkhidmatan Awam MADANI

Penyelarasan Gaji Penjawat Awam: Isyarat Kukuh Ke Arah Perkhidmatan Awam MADANI

0 0

SHAH ALAM, 21 Mei 2025: Pengumuman penyelarasan kenaikan gaji oleh Kerajaan MADANI baru-baru ini telah menarik perhatian warga penjawat awam seluruh negara, terutamanya di Putrajaya dan Lembah Klang yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Inisiatif ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan dalam memperkasa Perkhidmatan Awam Malaysia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kesejahteraan, kemampanan dan keadilan sosial.

Kajian persepsi yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) pada Mac 2025 mendedahkan bahawa majoriti penjawat awam memberikan maklum balas positif terhadap langkah penyelarasan gaji ini. Daripada keseluruhan responden, sebanyak 62.5% menyatakan mereka berpuas hati, dengan pecahan 59.6% berpuas hati dan 2.9% sangat berpuas hati. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar penjawat awam mengiktiraf usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan mereka, sekali gus meningkatkan semangat dan motivasi untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun begitu, kajian tersebut turut menunjukkan bahawa 28.6% responden berada dalam kategori neutral. Ini menandakan bahawa masih terdapat kelompok yang mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap pelaksanaan sebenar dasar ini. Mereka mungkin mengharapkan penjelasan lanjut mengenai bentuk pelaksanaan, kadar sebenar kenaikan, serta bagaimana pelarasan ini akan memberi kesan kepada pelbagai skim dan gred perkhidmatan. Sementara itu, 8.9% responden pula menyatakan mereka tidak berpuas hati, satu peratusan kecil tetapi signifikan yang perlu diberi perhatian. Ketidakpuasan ini boleh jadi berpunca daripada isu yang lebih mendalam seperti beban kerja, ketidakseimbangan imbuhan antara jabatan, atau tekanan kos sara hidup yang masih tinggi.

Langkah penyelarasan gaji ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas – iaitu sebahagian daripada reformasi struktur yang sedang digerakkan oleh Kerajaan MADANI dalam memperkukuh institusi perkhidmatan awam. Antara inisiatif lain yang telah diumumkan termasuklah pelaksanaan Pelan Strategik Perkhidmatan Awam MADANI, pemerkasaan budaya kerja berprestasi tinggi, peningkatan integriti perkhidmatan, serta transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan. Malah, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah beberapa kali menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan penjawat awam bukan sahaja menjadi ejen pelaksana dasar, tetapi juga pemangkin kepada budaya tadbir urus yang lebih telus dan progresif.

Dapatan kajian ini mengesahkan bahawa pendekatan yang bersifat responsif dan proaktif oleh Kerajaan MADANI sedang mula menampakkan hasilnya dalam membina keyakinan penjawat awam. Namun, kerajaan tidak boleh berpuas hati semata-mata dengan angka sokongan. Perlu ada kesinambungan dalam komunikasi strategik, libat urus menyeluruh, dan pemantauan keberkesanan pelaksanaan dasar. Penjawat awam yang berada dalam kelompok neutral dan tidak berpuas hati harus terus didengar dan disantuni, agar tidak timbul jurang kepercayaan antara dasar yang diumumkan dan realiti pelaksanaannya.

Secara keseluruhan, penyelarasan kenaikan gaji ini bukan sekadar soal imbuhan semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu – ia adalah simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan penjawat awam sebagai tunjang pentadbiran negara. Ia mencerminkan semangat MADANI yang menekankan maruah, kesejahteraan dan keterangkuman. Kerajaan perlu terus melangkah ke hadapan dengan tekad dan kejelasan, demi memastikan perkhidmatan awam negara ini kekal relevan, berdaya saing dan diyakini oleh rakyat seluruhnya.

Penulis Adalah Khairul Ariffin Mohd Munir. Pengurus Kanan Penyelidikan IDE Reserach Centre

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish