SHAH ALAM, 21 Mei 2025 – Universiti Selangor (UNISEL), dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Yayasan Penantaraan Ilmu (YPI), telah melakar sejarah dengan menganjurkan sambutan “Malcolm X 100 Tahun: Kemanusiaan Tanpa Sempadan” buat julung kalinya di Dewan Pro-Canselor, UNISEL Kampus Shah Alam.
Acara bersejarah ini bukan sekadar memperingati kelahiran seorang pejuang, malah menjadi wadah menyemarakkan semangat perjuangan Malcolm X – tokoh ikonik yang memperjuangkan keadilan sejagat, menentang penindasan, dan membela hak golongan tertindas tanpa mengira agama, bangsa atau warna kulit.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, yang menekankan betapa pentingnya pemahaman terhadap pemikiran Malcolm X dalam memperkukuh budaya intelektual serta perjuangan hak asasi manusia dalam konteks semasa.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang mengangkat semangat Malcolm X sebagai lambang keberanian insan yang menuntut keadilan sejagat. Menurut beliau, perjuangan Malcolm X adalah cerminan keutuhan nilai kemanusiaan yang wajar diteladani dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.
Perjalanan Dakwah Lewat Lensa Filem
Majlis turut diserikan dengan wacana intelektual daripada dua tokoh tersohor – Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, dan Puan Sri Fatini Yaacob, Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid – melalui pembentangan bertajuk “Perjalanan Dakwah Dengan Filem Malcolm X”, membedah sisi spiritual dan evolusi pemikiran Malcolm X menerusi sinema.
Para pengunjung juga berpeluang menikmati pameran interaktif yang memaparkan sejarah hidup Malcolm X, termasuk koleksi gambar, petikan ucapan dan dokumentari eksklusif dari 20 hingga 30 Mei 2025.
PMX: Kemanusiaan Dalam Perspektif Islam
Dalam satu pernyataan penuh nostalgia, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengimbas bagaimana beliau bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah memperkenalkan perjuangan Malcolm X kepada rakyat Malaysia pada tahun 1996 menerusi tayangan perdana filem “Malcolm X” lakonan Denzel Washington, hasil kerjasama dengan TV3.
PMX turut berkongsi pengalaman peribadi ketika berkhidmat di New York, termasuk kunjungannya ke masjid-masjid di Harlem serta kisah persahabatan istimewa antara Malcolm X dan lagenda tinju dunia, Muhammad Ali – satu hubungan yang beliau sifatkan sarat nilai dan pengajaran.
Paling menyentuh hati, PMX mengungkapkan detik transformatif ketika Malcolm X menunaikan ibadah haji pada 1964. Peristiwa itu merombak sepenuhnya pandangan dunia beliau – dari seorang yang berjuang atas dasar perkauman, kepada seorang insan yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan universal.
“Eaten from the same plate with fellow Muslims whose eyes were bluer than blue, whose hair was blond, blonder than blond, whose skin was whiter than white and we were all the same.” – Malcolm X
Legasi Yang Terus Bernyawa
Sambutan ini bukan sahaja mengenang tokoh, tetapi menghidupkan kembali denyut nadi perjuangan yang menjunjung keadilan tanpa sempadan. Ia mencerminkan komitmen UNISEL dan rakan strategik dalam membudayakan pemikiran kritikal serta memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.
Malcolm X telah pergi, namun roh perjuangannya terus hidup – membakar semangat dunia untuk terus menegakkan keadilan di mana jua penindasan berlaku.
Average Rating