SHAH ALAM, 21 Mei 2025 – Sebahagian besar penjawat awam di Putrajaya dan Lembah Klang memberikan penilaian positif terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menurut Kajian Persepsi Penjawat Awam oleh IDE Research Centre yang dijalankan pada Mac 2025.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa 63% penjawat awam bersetuju dan berpuas hati dengan langkah penyelarasan kenaikan gaji, sementara hanya 8.9% tidak bersetuju. Ini menggambarkan penerimaan yang baik terhadap usaha kerajaan meningkatkan kebajikan penjawat awam.
Dari sudut prestasi pentadbiran Perdana Menteri (PMX), 62.5% responden memberikan penilaian antara “Baik” hingga “Sangat Baik”, manakala 31% menganggap pentadbiran berada pada tahap sederhana, dan hanya 6.7% menyatakan pandangan negatif. Ini menjadikan keseluruhan persepsi positif terhadap pentadbiran mencecah 92.5%.
Kajian turut menunjukkan bahawa 62.3% penjawat awam menyokong keupayaan Kerajaan MADANI dalam menjamin kestabilan negara, serta mempercayai kepimpinan barisan Kabinet dalam melaksanakan tanggungjawab negara. Tambahan pula, 63.1% menyatakan keyakinan bahawa kerajaan berjaya mengurus ekonomi dengan baik.
Dalam soal pengurusan keseluruhan kerajaan, 60.9% penjawat awam berpuas hati terhadap kepimpinan Kerajaan MADANI, termasuk dalam pelbagai portfolio kementerian dan agensi. Penilaian terhadap keadaan ekonomi semasa juga menunjukkan trend positif, dengan 59.5% menyifatkan keadaan ekonomi kini sebagai “Baik” dan “Sangat Baik”.
Paling signifikan, kajian IDE mendapati bahawa 65.3% penjawat awam berpandangan Kerajaan MADANI wajar dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Ini didorong oleh aspirasi untuk mengekalkan kestabilan politik dan dasar pentadbiran yang konsisten demi manfaat rakyat dan pembangunan negara.
Dapatan ini mencerminkan tahap keyakinan dan sokongan tinggi dalam kalangan penjawat awam terhadap arah tuju Kerajaan MADANI serta kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi negara ke hadapan. _ IDE Research Centre.








Average Rating