Penerimaan Terhadap Kepimpinan Wanita di Malaysia: Antara Harapan dan Cabaran

Penerimaan Terhadap Kepimpinan Wanita di Malaysia: Antara Harapan dan Cabaran

0 0

Walaupun Malaysia telah menunjukkan kemajuan dari segi penyertaan wanita dalam sektor profesional dan pendidikan, penerimaan terhadap kepimpinan wanita khususnya dalam politik dan sektor awam masih berdepan cabaran ketara. Isu ini bukan semata-mata berkisar pada soal kemampuan, tetapi persepsi sosial dan struktur budaya patriarki yang masih kukuh mencengkam. Dalam konteks kontemporari, kemunculan semula Nurul Izzah Anwar dalam arena politik sebagai calon Timbalan Presiden PKR telah membuka semula perbahasan tentang sejauh mana rakyat Malaysia benar-benar bersedia menerima kepimpinan wanita pada kedudukan tertinggi.

Wanita Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak era kemerdekaan. Tokoh seperti Tun Dr. Fatimah Hashim, Tan Sri Rafidah Aziz, dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah membuktikan bahawa wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah membawa nilai tambah dalam pembuatan dasar, diplomasi dan ekonomi. Namun statistik masih menunjukkan ketidakseimbangan: hanya sekitar 15% Ahli Parlimen wanita, dan sekitar 25% dalam jawatan kanan sektor awam serta GLC. Dalam politik khususnya, penglibatan wanita sering kali dibayangi oleh struktur hierarki parti yang didominasi lelaki.

Salah satu cabaran utama yang dihadapi wanita dalam mendaki hierarki kepimpinan adalah persepsi stereotaip bahawa wanita kurang tegas, terlalu emosional, atau tidak sesuai memimpin dalam situasi kritikal. Media arus perdana kadangkala turut memperkuatkan naratif ini dengan menonjolkan aspek luaran seperti penampilan atau status keluarga berbanding kredibiliti dan polisi yang dibawa.

Bagi tokoh seperti Nurul Izzah, naratif “nepotisme” sering digunakan untuk menyerang pencalonan beliau, meskipun pengalaman dan sumbangan politiknya tidak dapat disangkal. Beliau sendiri menolak dakwaan tersebut sebagai taktik usang untuk melemahkan gerakan reformasi.

Persoalan yang lebih mendasar, apakah Rakyat Bersedia?

Berdasarkan kajian yang dijalankan pada semester lalu mendapati bahawa sebanyak 67.57% responden percaya bahawa wanita boleh menjadi pemimpin, manakala 18.92% tidak bersetuju dan 13.51% tidak pasti. Walaupun majoriti menyokong, wujud peratusan signifikan yang masih ragu-ragu terhadap keupayaan kepimpinan wanita.

Dari segi sokongan terhadap pencalonan wanita, hanya 32.43% yang menyatakan sokongan penuh, manakala 37.84% menyatakan sokongan dengan kekhuatiran tertentu. Namun 27.03% masih berpegang kepada kepercayaan bahawa kepimpinan lebih sesuai untuk lelaki.

Ketika ditanya tentang cabaran utama kepimpinan wanita, responden mengenal pasti dua hal paling dominan:

•Bias gender dan stereotaip (45.95%)

•Mengimbangi tanggungjawab keluarga dan profesional (40.54%)

•Diikuti oleh persepsi awam dan jangkaan masyarakat (40.54%) dan kekurangan peluang atau bimbingan (13.51%).

Pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR memberi peluang untuk menilai secara langsung penerimaan parti dan masyarakat terhadap pemimpin wanita. Walaupun beliau membawa naratif penyatuan dan pemerkasaan wanita, sentimen dalam parti sendiri bercampur antara sokongan moral dari akar umbi wanita dan veteran reformasi, serta keraguan dari segmen yang masih melihat kepimpinan sebagai domain lelaki. Jika beliau berjaya, ia bakal menjadi titik tolak penting bagi pengarusperdanaan kepimpinan wanita dalam politik nasional.

Penerimaan terhadap kepimpinan wanita tidak boleh dibiarkan bergantung pada kekuatan peribadi tokoh semata-mata. Ia perlu didukung oleh dasar dan amalan institusi:

•Pendidikan awam yang lebih inklusif dan bebas stereotaip gender

•Kuota minimum wanita dalam jawatan parti, Kabinet dan Lembaga Pengarah GLC

•Pengukuhan jaringan sokongan dan mentorship kepada wanita muda

•Transformasi budaya organisasi ke arah kepimpinan berasaskan merit.

Kepimpinan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jantina, tetapi berdasarkan integriti, visi dan keberkesanan. Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, Malaysia tidak boleh terus meletakkan setengah daripada rakyatnya di pinggir hanya kerana mereka wanita. Kes Nurul Izzah adalah cerminan cabaran sebenar bukan kerana dia seorang wanita, tetapi kerana sistem masih dalam proses belajar menerima wanita sebagai pemimpin utama. Masa untuk berubah bukan esok, tetapi hari ini.

Hanif Ahmad, Penyelidik Institut Darul Ehsan

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish