Cyberjaya, 09 Mei 2025 – Institut Darul Ehsan (IDE) melalui Unit Penyelidikan IDE Research Centre telah mengadakan sesi pembentangan awal Survei Baucar Buku MADANI 2024 bersama pihak Perbadanan Kota Buku, bertempat di Cyberjaya.
Sesi kali ini diketuai oleh Ketua Pengurus Projek Survei, En. Khairul Arffin Mohd Munir, yang juga Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, bersama tiga orang pegawai penyelidik IDE. Sementara itu, Kota Buku diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Adibah Omar, serta beberapa pegawai kanan yang turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut.
Sesi perbincangan kali ini bertujuan untuk memberi penerangan tentang perkembangan awal kajian yang sedang dijalankan bagi menilai impak program Baucar Buku MADANI 2024. Penilaian ini bertujuan mengenal pasti potensi penambahbaikan program bagi memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan sektor ekonomi yang berkaitan dengan buku dan pembacaan.
Dalam kajian ini, pendekatan kuantitatif dan kualitatif digabungkan dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam proses pengumpulan data. Kajian kualitatif telah dijalankan dengan sesi temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) untuk mendapatkan pandangan daripada guru, ibu bapa, penggiat industri buku, serta penerima manfaat program. Input yang diperoleh daripada sesi ini digunakan untuk membangunkan instrumen kajian yang lebih berkesan bagi fasa kuantitatif.
Sementara itu, bagi kajian kuantitatif, data dikumpul menerusi temu bual bersemuka dengan 500 orang responden di seluruh negara, khususnya penerima Baucar Buku MADANI. Kajian ini menggunakan kaedah pensampelan berstrata yang melibatkan faktor seperti negeri, peringkat pengajian, aliran pendidikan, dan kawasan kediaman. Data dikumpulkan melalui aplikasi IDE e-Survei menggunakan tablet, sementara untuk kawasan luar bandar, borang fizikal digunakan sebagai alternatif.
Kajian ini dilaksanakan selama 11 hari, dari 17 hingga 27 Februari 2025, dan melibatkan dua fasa pengumpulan data di Semenanjung Malaysia, serta di Sabah dan Sarawak. Sebelum turun ke lapangan, satu bengkel enumerator telah diadakan di Auditorium IDE Shah Alam untuk memberi latihan kepada 13 enumerator dari pelbagai universiti. Proses kajian ini dipantau oleh enam orang penyelia yang bertanggungjawab mengawasi kerja lapangan.
Antara dapatan awal yang dikongsi dalam sesi ini adalah pola pembelian dan pembacaan pelajar: 47.3% pelajar menggunakan baucar untuk membeli tiga hingga empat buah buku, dengan 65% memilih bahan latihan dan modul pembelajaran. Selain itu, 75.6% pelajar menyatakan mereka tidak menghadapi masalah ketika menebus baucar, dan 83.7% mengakui telah mula membaca buku yang dibeli.
Sesi ini juga membuka ruang kepada perbincangan lebih lanjut antara IDE dan Perbadanan Kota Buku mengenai hala tuju kajian dan kemungkinan penambahbaikan program pada masa hadapan. Fokus utama adalah untuk memastikan baucar buku ini memberi impak yang lebih besar kepada pelajar dan masyarakat, serta meningkatkan keberkesanan program bagi menyokong budaya membaca di Malaysia.
Kesimpulannya, sesi ini menjadi langkah penting dalam usaha bersama IDE dan Kota Buku untuk memahami kesan dan keberkesanan program Baucar Buku MADANI. Potensi penambahbaikan program yang dibincangkan dapat membantu memastikan inisiatif ini terus relevan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang, selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
Average Rating