Hari Jururawat Antarabangsa disambut pada 12 Mei setiap tahun untuk menghargai sumbangan besar jururawat di seluruh dunia. Tarikh ini dipilih bersempena hari kelahiran Florence Nightingale pada tahun 1820, yang dikenali sebagai pengasas kejururawatan moden.’
Tema 2025: “Jururawat Kita. Masa Depan Kita. Penjagaan jururawat mengukuhkan ekonomi.”
Tema ini ditetapkan oleh International Council of Nurses (ICN) bagi menekankan betapa pentingnya peranan jururawat dalam sistem kesihatan dan pembangunan ekonomi global. Ia juga menyeru pelaburan dalam kebajikan jururawat agar mereka dapat memberikan penjagaan yang berkualiti tinggi.
Pada tahun 2025, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan melancarkan laporan State of the World’s Nursing 2025, yang memberi gambaran menyeluruh mengenai tenaga kerja kejururawatan di seluruh dunia dan menggariskan keutamaan dasar untuk memperkukuhkan perkhidmatan kejururawatan.
Profesion kejururawatan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyelamatkan nyawa, tetapi juga menyokong kestabilan dan kemajuan ekonomi negara. Dalam era mencabar ini, peranan jururawat telah berkembang melebihi penjagaan kesihatan tradisional. Mereka kini menjadi tonggak utama dalam memperkukuh sistem kesihatan awam dan sebagai agen perubahan dalam membina struktur ekonomi dan sosial yang lebih mampan.
Jururawat kini terlibat secara aktif dalam merangka dasar kesihatan awam. Di Malaysia, mereka diberi ruang menyumbang melalui program seperti Program Imunisasi Kebangsaan dan Skim Penjagaan Kesihatan Komuniti (SCOPE), menjadikan mereka pemikir strategik dalam mencapai keberkesanan dasar.
Melalui pendidikan komuniti, jururawat menyampaikan maklumat kesihatan secara langsung kepada masyarakat. Dalam program seperti KOSPEN, mereka melatih sukarelawan menjalankan saringan kesihatan dan mempromosikan gaya hidup sihat. Pendekatan awal ini mengurangkan beban hospital dan kos rawatan yang tinggi. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan perbelanjaan kesihatan mencecah 4.0% daripada KDNK, dan penjagaan primer yang berkesan dapat membantu mengawal perbelanjaan ini.
Penjagaan awal juga meningkatkan produktiviti negara apabila rakyat tidak perlu bercuti panjang akibat penyakit. Perbelanjaan kesihatan per kapita meningkat dari RM1,237 (2011) kepada RM2,521 (2023), dan pelaburan ini hanya memberi impak jika penjagaan awal dimanfaatkan. Dengan populasi yang semakin menua, peranan jururawat dalam pemantauan kesihatan warga emas semakin penting, memandangkan kos penjagaan dijangka mencecah RM21 bilion menjelang 2040.
Jururawat juga aktif dalam keusahawanan sosial, seperti menubuhkan perkhidmatan rawatan luka bergerak dan pusat pemulihan. Ini bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam pelancongan kesihatan, Malaysia menerima lebih 1 juta pelancong perubatan setiap tahun, menyumbang RM1.3 bilion kepada ekonomi negara. Jururawat memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman penjagaan berkualiti yang meningkatkan keyakinan pesakit antarabangsa terhadap sistem kesihatan negara.
Kesimpulan:
Jururawat Malaysia bukan sahaja memperkukuh penjagaan kesihatan, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara. Pelaburan dalam profesion ini adalah langkah strategik untuk masa depan yang lebih sihat, seimbang dan mampan, sejajar dengan tema Hari Jururawat Sedunia 2025: “Our Nurses. Our Future. The Economic Power of Care.”
Average Rating