Putrajaya, 25 April 2025 – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Institut Darul Ehsan telah menganjurkan satu Sidang Meja Bulat bertemakan “Islamic NGOs in a Shifting Global Order: Reflections Beyond the Trump Presidency”, yang berjaya menghimpunkan pelbagai tokoh akademik, pimpinan Badan Masyarakat Madani (CSO), dan ilmuwan tanah air.
Sidang ini turut dihadiri oleh dua tokoh akademik terkemuka dari Leeds University, United Kingdom, iaitu Prof. Salman Sayyid dan Prof. Mustapha Syeikh. Kehadiran mereka telah memberikan dimensi antarabangsa kepada perbincangan yang menyentuh isu-isu global dan kedudukan NGO Islam dalam lanskap dunia yang semakin mencabar.
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut hadir dan menyampaikan ucapan aluan. Beliau juga mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan sehingga ke akhir sidang. Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan semua pihak untuk berganding bahu dalam meneruskan momentum advokasi kesedaran terhadap tragedi kemanusiaan di Palestin, selaras dengan semangat #IhsanUntukPalestin.
Sepanjang sesi, pelbagai pandangan kritis dan konstruktif telah dikemukakan oleh para peserta. Perbincangan tertumpu kepada isu-isu semasa, trend global, cabaran yang dihadapi oleh NGO Islam, serta peluang dan ruang yang wujud untuk membawa perubahan bermakna di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Dr. Zulkifli Hasan telah diberikan amanah untuk menyampaikan rumusan dan ucapan penutup sidang. Beliau menyifatkan sesi tersebut sebagai satu perbincangan aras tinggi yang berjaya mengenal pasti pelbagai permasalahan serta mencetuskan idea-idea segar untuk tindakan bersama. Semua peserta menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam merealisasikan cadangan-cadangan yang telah dibincangkan.
Sidang Meja Bulat ini membuktikan keupayaan institusi dakwah dan CSO Islam dalam memainkan peranan signifikan dalam menangani isu-isu global melalui pendekatan ilmiah dan strategik.
Average Rating