Ibrah Isra’ dan Mikraj

Ibrah Isra’ dan Mikraj

0 0

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui . (Al-Isra’:1)

Isra’ dan Mikraj bukanlah peristiwa kosong yang hanya untuk didengari dan dibaca semata-mata. Sebaliknya, peristiwa ini sarat dengan ibrah dan pengajaran yang mengajak kita bersama-sama merenung pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam.

Peristiwa yang menguji keimanan

Hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri bersedih dan gelisah apabila memikirkan penerimaan masyarakat Quraish berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bukan Baginda SAW tidak tahu, peristiwa Israk dan Mikraj ini pastinya tidak akan diterima oleh logik akal masyarakat Quraisy yang mengingkari agama Allah dan mendustai kerasulan Baginda SAW.
Berkaitan peristiwa ini, masyarakat Makkah terbahagi kepada tiga golongan:

  1. Golongan kuffar Makkah yang semakin bertambah kekufuran mereka apabila mendengar kejadian-kejadian Israk dan Mikraj. Golongan ini diketuai oleh Abu Jahal, yang bukan semata-mata mendustakan peristiwa ini, malahan dikumpulkan orang ramai bagi mendengar kisah Israk dan Mikraj ini, agar mereka dapat mempersendakan Rasulullah SAW. Peluang ini digunakan sebaik-baiknya untuk menghentam Rasulullah SAW dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah Baginda; sehingga ramai daripada yang datang mendengar kisah ini bertepuk-tepuk tangan mempersendakan dan memperlekehkan peristiwa Israk dan Mikraj
  2. Golongan sebahagian orang Islam yang baru memeluk Islam dan tidak mempunyai keimanan yang kukuh. Mereka tidak beriman dengan kekuasaan dan kekuatan Allah yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan-Nya. Di saat Rasulullah SAW menceritakan tentang Israk dan Mikraj, mereka meragui kesahihan kisah ini dan tidak mempercayai Baginda SAW, sehingga membuatkan mereka murtad dan keluar daripada agama Islam.
  3. Golongan beriman yang semakin bertambah keyakinan dan keimanan mereka apabila mendengar kisah yang berlaku. Contoh yang paling ketara ialah Abu Bakar al-Siddiq. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aishah RA, beliau berkata,

“Apabila Nabi SAW diperjalankan ke Masjidil Aqsa, orang ramai mulai berbicara tentang perkara ini, menyebabkan sebahagian orang yang telah beriman mula keluar daripada agama Islam. Orang ramai pergi mencari Abu Bakar RA lalu berkata, “Apa pandangan kamu tentang sahabat kamu yang mendakwa dirinya dibawa pada waktu malam ke Baitul Maqdis dan kembali sebelum waktu pagi?” Abu Bakar al-Siddiq berkata, “Ya, bahkan aku mempercayainya lebih daripada itu. Aku percaya Baginda SAW membawakan wahyu daripada langit pada waktu pagi dan petang” (Riwayat al-Hakim, disahihkan oleh al-Albani).

Mewaspadai watak Abu Jahal; meneladani watak Abu Bakar

Sememangnya bukan mudah untuk meneladani Abu Bakar al-Siddiq RA. Di kala orang ramai galak mentertawakan Baginda SAW, beliau tetap membenarkan kata-kata Rasulullah SAW walau dalam apa jua keadaan.

Ambillah pengajaran daripada Abu Bakar RA sebagai contoh agar kita dapat sentiasa bersangka baik dengan syariat Islam dan tidak sesekali mempertikaikan atau memperlekehkan syariat Islam.

Keimanan yang kuat membuatkan beliau tetap teguh di belakang Rasulullah SAW, walau Baginda SAW didustakan dan diperlekeh masyarakat.

Keimanan yang teguh membuatkan beliau yakin dengan seluruh ajaran Islam yang dibawakan Rasulullah SAW, walau sesukar mana pun kisah Israk dan Mikraj ini ingin diterima oleh akal orang yang tidak beriman.

Sebaliknya, buangkanlah watak Abu Jahal daripada kehidupan kita kerana watak seperti ini tidak seharusnya dijadikan contoh dan ikutan. Sebaliknya, ia akan membawa kita jauh daripada kebenaran.

Penulis: Ustaz Zulkifli Abd Rahman – Eksekutif Kanan (Unit Maqasid)

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish