SHAH ALAM, 18 Disember 2024 – Bicara Emeritus bertajuk “Syria 2024: Kemenangan yang Tertangguh” berlangsung dengan jayanya di I-ZONE, UNISEL Kampus Shah Alam, pada pagi jumaat. Program berprestij itu menampilkan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), sebagai panel utama, manakala Haji Nazri Kahar, Editor Kanan Astro Awani, bertindak selaku hos.
Dialog ilmiah ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti YBhg. Dato’ Haji Ismail Bin Yusop, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Pejabat Perdana Menteri, dan Tuan Haji Amidi Abd Manan, Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan.
Program ini berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat serta pelajar universiti yang hadir untuk mendengar pandangan serta analisis mendalam mengenai situasi terkini di Syria, khususnya dalam konteks cabaran dan harapan kemenangan yang tertangguh.
YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam ucapannya menyentuh isu-isu utama yang melibatkan geopolitik, kemanusiaan, dan impak global konflik Syria, sambil menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa untuk mencapai resolusi yang adil dan mampan.
Dialog ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang hangat dan interaktif, mencerminkan minat mendalam para hadirin terhadap topik yang dibincangkan.
Bicara Emeritus ini merupakan salah satu usaha IDE Research Center bersama UNISEL untuk memupuk kesedaran intelektual dalam kalangan masyarakat dan menyumbang kepada wacana akademik yang relevan dengan isu semasa.
Average Rating