28 Jun 2024, Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 03 dan 13 Ogos 2024 ini. DPPR itu mengandungi seramai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
“Sehubungan itu, bagi urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka bermula hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 16 Ogos ini.
Pada PRN Dun Kelantan 2023 yang lalu, Mohd Azizi Abu Naim telah menewaskan Ab Aziz Yusof dari Barisan Nasional dengan jumlah undi 6,517 memperoleh majoriti undi 810. Mohd Azizi bertanding atas tiket logo Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewakili BERSATU Kelantan.

Namun pada 19 Jun 2024 yang lalu, peaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu. Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 12 Jun lalu.
Menurut Mohd Amar, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan. Selepas meneliti dan berpuas hati dengan surat pemakluman itu, maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili oleh Mohd Azizi.
“Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” katanya ketika mengisytiharkan perkara itu.
Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan injunksi terbabit.
Average Rating