SELAMAT HARI GURU
Tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’ mempunyai maksud yang mendalam.
Jauhari bermaksud bijak pandai, mempunyai keahlian dalam membezakan sesuatu perkara atau benda. Manakala digital bukan sekadar satu format dokumen tetapi digital kini telah menjadi satu ‘dunia’ yang tersendiri sehingga mampu mencorakkan budaya kehidupan kita.
Satu perkara yang menjadi hambatan berkaitan dunia ke’digital’an adalah kemudahan yang menyokong keberadaannya. Selain dari kemahiran dan peralatan ia juga menuntut kebijaksanaan.
Kebijaksanaan biasanya terkait dengan keseimbangan. Kesimbangan antara prinsip yang perlu dipertahankan dan perubahan keadaan yang berlaku. Begitu juga dengan nilai yang dilihat seperti menyusahkan tetapi ia amat penting untuk diamalkan bagi memastikan kelestarian kehidupan.
Inilah cabaran sebenar seorang guru hari ini. Digital bukan sekadar peralatan, ia adalah satu dunia yang perlu dibentuk dengan nilai masyarakat kita. Jangan biarkan ia menjadi sebaliknya.
Aspirasi Negara Madani adalah terkait dengan kehormatan. Negara Madani yang mengambil tonggak ‘karamah insaniah’ perlu dihayati oleh semua insan yang bergelar pendidik. Watak-watak tanpa wajah (faceless) yang hadir dalam dunia digital memamah dengan rakus nilai kehormatan insan.
Hilangnya rasa malu yang akhirnya menjurus kepada kerosakan akhlaq dan ketertiban tingkah laku akan memusnahkan teras pendidikan itu sendiri iaitu ‘kemenjadian’.
Bagi memelihara teras pendidikan ini, seorang guru mesti mempertahankan tradisi ‘tunjuk ajar’ seperti yang diungkapkan dalam nasihat bangsa :
Apa tanda Melayu jati?
Tunjuk ajarnya dipegang mati.
Apa tanda Melayu amanat?
Memegang tunjuk ajar sampai ke lahat.
Apa tanda Melayu berbudi?
Tunjuk ajarnya dijunjung tinggi.
Apa tanda Melayu budiman?
Tunjuk ajar dijadikan pakaian.
Guru adalah qudwah hasanah (contoh terpuji) sepanjang masa kerana guru sentiasa digugu (dipercayai) dan ditiru (diikuti, diteladani).
Average Rating