Peratusan pengundi di KKB terpecah kepada 3 bangsa terbesar iaitu Melayu (52%), Cina (31%), India (17%) dan lain-lain 0.3%.
Dari pecahan tersebut maka dibuatlah percaturan bagi memenangi hati pengundi. PH meletakkan calon dari bangsa Cina manakala PN meletakkan calon dari bangsa Melayu. 2 lagi calon bebas dilihat tidak mampu memberikan saingan yang signifikan.
Seperti dijangka, pihak PN terus memainkan isu perkauman sempit. Serangan pertama yang dibuat dilihat memakan diri sendiri. Pihak PN mempertikaikan latar belakang akademik dengan cuba menonjolkan calon PH belajar di SJKC dan SMJKC. Taktik ini akhirnya menjadi bola tanggung apabila ruang terbuka untuk calon PH membuktikan kecemerlangan pencapaian akademik bermula dari peringkat sekolah rendah lagi.
PN sudah kehilangan momentum kempennya. Dalam PRU Negeri yang lalu, dakwaan tentang pertukaran kerajaan dijaja habis-habisan. Tapi ia terbukti hanya omongan kosong apabila kerajaan perpaduan semakin kukuh dan semakin stabil.
Apabila serangan peribadi terhadap PMX dilakukan oleh SUA PAS, jelas ia hanya mahu mengukuhkan sokongan pengundi tegar sahaja.
Apabila Takiyuddin mengeluarkan kenyataan ‘Haram Ahli PAS tak keluar mengundi’ itu juga adalah arahan biasa. Namun mungkin belum cukup ummph, maka Presiden PAS sekali lagi mengulangi fatwa tersebut.
Tiada lagi kedengaran kerajaan akan bertukar. Ungkapan “jika kita dapat kerajaan maka kita akan bertindak lebih baik” sudah hilang dari topik kempen.
Ini satu perkembangan yang menarik. Persoalan, adakah ‘gelombang hijau’ sudah mula melemah, akan dapat kita perolehi selepas masa pengundian esok.
Satu perkara lagi yang menarik untuk diperhatikan adalah sokongan ahli UMNO kali ini. Ia cukup mencabar kerana calon kerajaan perpaduan adalah calon dari DAP. Walaupun dibayangi dengan boikot KK Mart yang diterajui oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal, namun dari tinjauan yang dilakukan oleh sekurang-kurangnya 2 badan penyelidikan terdapat sedikit peningkatan undi Melayu kepada PH.
Jika perkara ini benar-benar berlaku ia satu petanda yang jelas, ‘Gelombang Hijau’ menghampiri penamatnya.
Momokan terhadap ‘hantu DAP’ kepada pengundi tegar UMNO telah mula dapat ditangani.
Rakyat mula menyedari bahawa ayam, telor ayam dan minyak masak berjaya ditangani oleh kerajaan hari ini. Begitu juga dengan kewujudan beras di pasaran.
Walaupun ada sedikit sebanyak kenaikan harga bahan makanan, namun bekalan bahan asas makanan dapat diperolehi dengan mudah.
Keadaan ekonomi yang tidak menyebelahi pihak PN juga merencatkan kempen memburuk-burukkan kerajaan. Pengukuhan nilai ringgit, kadar inflasi yang rendah dan terkawal serta prestasi BSKL menyebabkan PN tercari-cari isu utama yang boleh menambat hati pengundi di DUN KKB.
Mari kita lihat prestasi ‘gelombang hijau’ esok. Adakah ia masih mempunyai nafas untuk terus berhadapan dengan cabaran mendatang.
Photo Credit: Berita Harian
Average Rating