LAPORAN KAJIAN PERSEPSI PENGUNDI DI DUN KUALA KUBU BAHARU MENJELANG PILIHAN RAYA KECIL PADA 11 MEI 2024
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong telah meninggal dunia pada 21 Mac 2024 akibat penyakit kanser. Mendiang berusia 58 tahun dan merupakan wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu daripada parti DAP sejak 2013 dan ini merupakan penggal ketiga beliau mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 DUN Negeri Selangor. Setelah berlakunya kekosongan luar jangka kerusi N.06 Kuala Kubu Baharu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pada 11/5/2024 (Sabtu) merupakan hari pengundian.
Institut Darul Ehsan (IDE) telah menjalankan kajian pengumpulan data menggunakan kaedah temu bual bersemuka dengan menggunakan borang soal selidik di 16 daerah mengundi pada 21 April – 23 April 2024 melibatkan 427 orang responden dan 12 enumerator dengan ralat kesilapan (margin of error) (4.72%) dan tahap keyakinan (confidence level) sebanyak 95%. Pensampelan rawak berstrata telah rangka melibatkan beberapa peringkat iaitu daerah mengundi, kaum, umur dan lain-lain.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu untuk mempertahankan kerusi N.06 Dun Kuala Kubu Baharu pada Plihan Raya Kecil akan datang. Sokongan kaum bukan Melayu menjadi faktor kemenangan kepada calon PH di Dun Kuala Kubu Baharu manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat sokongan majoriti Melayu dan anak muda. Tetapi gabungan PH dan BN akan menghadapi masalah besar jika majoriti pengundi Cina dan India bertindak untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil tersebut.
Penemuan kajian juga menunjukkan pengundi setempat teruja untuk keluar mengundi pada 11 Mei 2024 (Sabtu) dan sebanyak 65% pengundi menyatakan mereka mempunyai ahli keluarga yang tinggal di luar kawasan tetapi mengundi di Dun Kuala Kubu Baharu. Jika pengundi luar mengambil sikap untuk tidak pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil akan datang kami menjangkakan peratusan mengundi adalah rendah.
Average Rating