Harus difahami bahawa pola undi Melayu di Pelangai terbahagi kepada dua segmen iaitu:
1. FELDA (terdiri daripada 3 Felda iaitu Sungai Kemasul, Chemomoi dan Sungai Kemahal)
2. Kampung Tradisi
Dalam perbincangan berkaitan dengan Undi Felda apabila diteliti secara mikro didapati bahawa penguasaan FELDA dari segi pola pengundian antara BN dan PN adalah kekal satus quo berentap antara UMNO dan PAS.
Perikatan Nasional berjaya meningkatkan undi FELDA berbanding PRU 15 yang lalu, namun penguasaan undi masih status quo antara BN dan PN. Bagi undi terkumpul 3 Felda tersebut pada PRU 15, BN kuasai 55%, PH 5%, maka 60% undi BN-PH. PN hanya meraih 39% undi sahaja.
Pada PRK 2023, sokongan Kerajaan Perpaduan untuk ketiga FELDA tersebut adalah kepada 48.5% Sokongan undi FELDA kepada PN pula adalah 50.5%. Bermakna wujud kenaikan sebanyak 11.5% undi kepada PN.
Secara keseluruhan pada PRU 15 yang lalu BN, menang di semua kawasan FELDA. Pada PRK kali ini BN hanya mengekalkan kemenangan di FELDA Chemomoi sahaja. Dahulu BN-PH mendapat 58% (54+4), kini jatuh kepada 53.4%.
PN menang di Felda Kemasol daripada 40% PRU yang lalu, naik kepada 56.5%. BN pula menyusut undi daripada 59% (55% + 4%), kepada 42.5%.
Bagi Felda Kemahal pada PRK yang lalu telah PN mencapai kekuatan seimbang antara PN dan BN. 2 saluran dimenangi BN dan 2 saluran dimenangi PN dengan perbezaan 0.2%. PN memperolehi 49.6% undi, meningkat daripada 35% pada PRU 15 yang lalu. Bagi BN, ia memperolehi 49.3% pada PRK kali ini (menyusut daripada 63% (BN 56%, PH 7%), PRU 15). Penyusutan 16.3%. BN tumpas di Saluran 2 dan 3 di Felda Kemahal. Di Kemahal, Saluran 1 golongan veteran dan Saluran 4 yang terdiri dari anak muda dimenangi oleh BN. Golongan anak muda masih kekal dengan BN di FELDA Sg. Kemahal.
Barisan Nasional menang di Felda Chemomoi, BN: 53.4% menewaskan PN: 45.7% undi. BN menang di saluran 1,2 dan 5. PN hanya menang di saluran 3 dan 4. Saluran 5 yang mewakili anak muda masih bersama BN.
Prestasi PN meningkat FELDA. Mengapa ia berlaku?
Ketiga-tiga FELDA ini ada pengundi asal dari Kedah dan Kelantan yang menjadi peneroka kepada ketiga-tiga Felda ini. Felda Kemasol yang PN menang, daripada 300 peneroka, 181 adalah peneroka daripada Kedah. Bagi Felda Chemomoi, majoritinya adalah daripada Pahang dan Melaka. Felda Kemahal pula adalah mix antara yang berasal dari Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan dan lain-lain negeri. Nampaknya pola pengundi Felda ini adalah mengikut kawasan asal mereka. Isu 3R masih menguasai pemikiran rata-rata pengundi Felda termasuk isu lain seperti ekonomi dan harga barang.
Secara umumnya, PN-PAS mula menguasai FELDA bermula daripada PRU 14 yang lalu, namun tidak boleh dinafikan kekuatan UMNO yang masih kuat di kawasan-kawasan tertentu FELDA berkenaan, tambahan pula peratusan undi yang rendah berbeza daripada PRU 15 yang lalu. Pada PRU15, peratusan turun mengundi FELDA adalah 78.2%, namun untuk PRK, bagi FELDA di Pelangai hanya 75.6%.
Dari segi keseluruhan Undi Melayu di DUN Pelangai, BN masih menguasai dengan 52% undi berbanding PN hanya 48% undi. BN juga mendapat 53% undi sokongan daripada pengundi berumur 18-24 tahun. BN mengatasi PN yang hanya mendapat 47% undi. BN juga mendapat sokongan jitu daripada pengundi berumur atas 51 tahun sebanyak 57%, mengatasi PN yang mendapat 43% undi.
Jelas di DUN Pelangai penguasaan BN di FELDA adalah pada pengundi baru dan pengundi generasi pertama FELDA. Bagi generasi kedua dan ketiga FELDA kecenderungan adalah kepada PN. BN tidak boleh merasa selesa dengan menganggap bahawa FELDA adalah kubu kuat mereka setiap masa. Namun demikian harus difahami bahawa FELDA yang sebelum ini adalah fix deposit BN telah mengalami perubahan dengan wujudnya ‘pengundi yang dinamik’. Pengundi ini sekitar 10%-15% yang kini mengundi PN boleh juga kembali mengundi BN atau mana-mana pihak kerana mereka telah keluar dari kelompok pengundi tegar parti. Mereka mengundi berdasarkan faktor-faktor lain seperti calon, isu-isu semasa, kepentingan dan kebajikan warga FELDA serta santunan pelbagai pihak kepada mereka.
UNIT PENYELIDIKAN & ANALITIK DATA IDE
Khairul Arifin Mohd Munir / Kamarulbahrin Zahid
Average Rating