KUALA LUMPUR: Gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dijangka lebih berpotensi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, jika pola pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kekal.
Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir, berkata kajian turut mendapati peratusan turun mengundi pada PRK Pulai dan Simpang Jeram berada pada lingkungan 69 hingga 70 peratus, berdasarkan kepada mood dan sentimen yang ada kini.
Beliau berkata, BN perlu bekerja keras untuk mengajar ahli UMNO memangkah logo PH kerana wujud ahli parti tradisi itu yang selama ini hanya mengundi logo BN.

“Walaupun setia dengan UMNO dan BN, namun mereka boleh keliru dengan mengundi Perikatan Nasional (PN), tidak mengundi atau membuat undi rosak kerana tidak ada lambang dacing yang dicari.
“PRK Pulai dan Simpang Jeram akan memperlihatkan kekuatan bersama Kerajaan Perpaduan membabitkan PH-BN dapat diterjemahkan penyokong masing-masing dalam kotak undi pada hari mengundi kelak,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, petunjuk awal kedudukan parti politik yang bertanding membabitkan blok utama PH-BN dan PN boleh dilihat daripada keputusan PRU15 yang lalu apabila PH berjaya mendapat 54 peratus undi popular dan BN pula adalah 26.8 peratus.
Beliau berkata, gabungan kedua-dua ini menjadikannya sebanyak 81.6 peratus sokongan berbanding 17.5 peratus yang diperoleh PN.
Katanya, jika dilihat kepada undi Melayu pula, BN mendahului dengan 43.6 peratus dan PH (27.6 peratus) bagi semua kawasan Parlimen, manakala undi sokongan Melayu di Pulai pula hanya 28.8 peratus saja.
“Jika undi popular Melayu BN dan PH bergabung, maka gabungan blok Kerajaan Perpaduan PH-BN boleh mencapai 71.2 peratus.
“Sokongan undi popular Parlimen Pulai bagi saluran umur 18 hingga 24 tahun didominasi oleh PN yang mendahului dengan 35.7 peratus, mewakili sokongan anak muda.
“Namun, dominasi itu boleh tergugat apabila undi PH dan BN bergabung. Blok umur undi lain membabitkan 25 tahun ke atas didominasi oleh BN,” katanya.
Beliau berkata, senario di Simpang Jeram dilihat undi Melayu bagi PN agak tinggi dengan 35.2 peratus, berbanding Parlimen Pulai.
Katanya, walaupun gabungan PH-BN mempunyai 61 peratus undi Melayu, namun jika undi blok BN terjejas dan peratusan undi kaum Cina berkurangan, ia boleh menggugat kedudukan PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
“Oleh itu bagi PH untuk menang, maka kempen bersama BN harus dipergiatkan lagi untuk memastikan pengundi BN boleh dan yakin untuk mengundi PH.
“PH juga berdepan cabaran memastikan pengundi PH pada PRU15 yang lalu khususnya dalam kalangan Melayu luar kawasan dan pengundi Cina turun mengundi,” katanya.
Beliau berkata, hujung minggu ini adalah medan peperangan kempen bagi melihat sejauh mana potensi calon dan parti bertanding.
Katanya, minggu pertama kebiasaannya adalah minggu konsilidasi parti politik untuk menyelesaikan isu dan masalah dalaman masing-masing.
“Maka trend pengundian dan sokongan boleh dilihat minggu berikutnya selepas kempen hujung minggu,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Average Rating