KUALA LUMPUR: Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, semalam, dipercayai berupaya memenuhi keperluan segenap segmen masyarakat, di samping sebagai penerus usaha terdahulu dalam menjamin kebajikan rakyat dan membangunkan kepesatan ekonomi di negeri itu.
Manifesto mengandungi lima kerangka utama dengan 53 tawaran secara keseluruhannya itu turut mengandungi rancangan pembangunan jangka panjang di Selangor, termasuk khususnya sebagai negeri termaju dan menjadi juara di Malaysia serta Asia Tenggara.
Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis menyifatkan tawaran dibentangkan itu sebagai realistik dan diyakini mampu dijayakan dalam tempoh satu penggal akan datang.
Beliau berkata, ia berbekalkan rekod penggal lalu di mana banyak program bantuan yang diumumkan kepada rakyat berjaya dilaksanakan dan benar-benar memberi manfaat kepada penerimanya, terutama rakyat Selangor sendiri.
“Kalau melihat ‘track record’ yang ada ini, saya tidak nampak ia mustahil untuk direalisasikan. Rekod terdahulu pun, Kerajaan Selangor adalah antara yang cemerlang. Bagaimana dia buat tawaran, pada masa sama tawaran itu adalah satu bentuk jaringan sosial, dengan manfaatnya diterima sejak dari budak lahir sampai mati. Jadi yang diumumkan kelmarin itu, mungkin penawaran baharu, iaitu rancangan Amirudin untuk membawa Selangor ke fasa kedua.
“Contohnya, apabila disebut menghubungkan jajaran rel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek, mengatasi kesesakan trafik dan keterhubungan 5G paling cekap, ini memang ‘next level’ punya pembangunan yang ditawarkan PH Selangor bawah Amirudin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, tawaran itu akan lebih mudah dilaksana memandangkan kerajaan negeri dan pusat ketika ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang sama.
“Kalau diperhatikan selama ini kemampuan Selangor membangun di sebalik dari 2008 hingga 2018 itu memang tidak ada keselarian dengan Kerajaan Pusat. Ini satu kredit yang kita boleh beri kepada PH Selangor kerana kalau PH boleh hidup ketika itu, bayangkan pula ketika ini apabila Selangor dan Kerajaan Pusat itu sudah selari.
“Jadi, mungkin ini peringkat awal yang diumumkan. Kalau menang (Pilihan Raya Negeri) dan ekonomi negara semakin pulih serta makmur, saya rasa lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa, apatah lagi selepas Kerajaan Pusat selari dengan PH Selangor. Saya rasa akan banyak lagi ruang dan peluang untuk Selangor terus maju,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pengurus Besar (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir pula melihat tawaran yang diumumkan Amirudin adalah menyeluruh dan bertepatan kehendak semasa rakyat.
“Berdasarkan tinjauan IDE, kami mendapati rakyat Selangor amat prihatin dan bimbang akan isu ekonomi, kos sara hidup dan harga barang, manakala anak muda pula terkait dengan peluang pekerjaan lebih luas. Maka, tawaran berkenaan nampaknya menjurus kepada yang dihasratkan rakyat kini.
“Tawaran itu dikemukakan secara holistik merangkumi sebahagian besar ekosistem masyarakat yang memerlukan. Berdasarkan ‘track record’ kerajaan PH Selangor dan Menteri Besar hingga hari ini, wujud usaha berterusan untuk membantu terkait dengan kos sara hidup menerusi Skim Hijrah Selangor, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan BLUEPRINT di Selangor. Bagi saya, ia membantu,” katanya.
Beliau berkata, insentif membantu anak muda pula hadir dengan tawaran peluang pekerjaan dan elaun latihan industri, namun ia boleh diperkukuh dengan mengembangkan lagi skim bantuan ‘mentoring’ dan penambahbaikan kemahiran mereka.
“Ini dapat dilaksanakan dengan wujudnya bantuan ‘coaching’ dan peluang mereka bersama mencari pengalaman di syarikat yang sudah berjaya serta berpengalaman. Anak muda tidak suka hanya disuruh itu dan ini, tetapi mereka mahu dilibatkan secara aktif.
“Penyelesaian masalah trafik pula usaha jangka panjang. Ia perlu dibincangkan secara menyeluruh kerana membabitkan banyak isu dan pihak berkepentingan. Wajar diwujudkan satu Majlis Perundingan Penyuraian Trafik supaya dapat dibincangkan pelan tindakan menyeluruh untuk menyelesaikan masalah trafik membabitkan kedudukan jalan, sikap masyarakat terhadap penggunaan kenderaan, dan peningkatan mutu kemudahan perkhidmatan awam,” katanya.
Sumber: Berita Harian

Average Rating