Calon popular menjadi taruhan PN

Calon popular menjadi taruhan PN

0 0

KUALA LUMPUR: Berdasarkan 132 senarai calon dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) khasnya di Selangor dan Kedah, dapat dilihat calon terbabit memiliki populariti atau aura tersendiri untuk memikat pengundi.

Strategi ini dilihat bukan sahaja mampu menaikkan reputasi PN pada mata pengundi, bahkan mewujudkan cabaran besar kepada blok Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sama ada untuk merampas atau mengekalkan kerusi disandang sebelum ini.

Antara calon populis PN dilihat mampu menggugat PH/BN di Selangor adalah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diamanahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Walaupun bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tewas kepada Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu, PN melihat Mohamed Azmin masih memiliki taring untuk memberikan saingan di kerusi DUN Hulu Kelang.

Mohamed Azmin dijangka berdepan dengan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli yang juga bekas Ahli DUN (ADUN) Bukit Melawati. Pada PRU14, DUN Hulu Kelang dimenangi PH menerusi Saari Sungib mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sementara itu, PN turut mempertaruhkan muka baharu dari luar gelanggang politik, bekas pemain bola sepak kebangsaan Baddrol Bakhtiar untuk bertanding di DUN Gurun, menentang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari dari PH.

Ia bakal dianggap persaingan epik bekas kapten pasukan bola sepak Liga Super Kedah Darulaman FC (KDA FC) itu menentang Mohammed Firdaus, yang juga anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Pertembungan dua anak muda ini pasti menarik perhatian ramai kerana DUN Gurun selama ini dianggap sebagai kubu kuat PH selepas dimenangi Johari pada PRU14.

Selain itu, seorang lagi ‘bintang’ dalam senarai calon PN adalah kapten lagenda Hijau Kuning, Muhamad Radhi Mat Din bakal merebut DUN Alor Mengkudu.

Menariknya, Muhamad Radhi bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kedah bakal menentang Datuk Mahfuz Omar yang menewaskannya pada PRU15 di Parlimen Pokok Sena.

Pertembungan ini dilihat sebagai misi membalas dendam Muhamad Radhi dan PN terhadap Mahfuz serta PH, di kerusi dikatakan menjadi kubu kuat PH.

Perkukuh kepercayaan pengundi

Turut menarik perhatian apabila PN mengenengahkan tokoh akademik iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman untuk bertanding di DUN Jitra.

Walaupun ia bukan perkara luar biasa, mempertaruhkan Haim itu dilihat sebagai strategi memperkukuhkan kepercayaan pengundi, terutama dalam kalangan akademik dan generasi muda berpendidikan tinggi terhadap PN.

Seorang lagi calon profesional ditampilkan PN adalah bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Muhammad Suffian Yusuf, akan bertanding di DUN Bandar Baharu.

Gabungan tokoh akademik, ahli profesional, bekas pemain bola sepak serta kepemimpinan berpengalaman ini dilihat bakal menjadi tunjang kepada PN sekiranya kembali menjadi kerajaan negeri di samping mempertahankan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar.

Selain Muhammad Sanusi sendiri yang diumumkan bakal mempertahankan kerusi DUN Jeneri, PN Kedah turut mengekalkan 12 penyandang kerusi, termasuk enam bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Mereka ialah Datuk Mohd Hayati Othman (Tokai), Datuk Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang), Datuk Najmi Ahmad (Kupang), Datuk Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas), Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohammad Yusoff Zakaria (Kuala Nerang).

Gabungan muka baharu dan penyandang ditampilkan PN kali ini boleh dianggap sebagai persediaan melatih pemimpin pelapis bakal mencorakkan politik dan pentadbiran negeri Jelapang Padi ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai perkembangan ini, Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Khairul Arifin Mohd Munir, berkata wujud dinamika tersendiri berdasarkan senarai calon ditampilkan PN dan PH mengikut kesesuaian pola politik mengikut negeri.

Beliau berkata, senario pertandingan satu lawan satu pada PRN kali ini juga amat berbeza dengan pertembungan tiga penjuru seperti pada PRU15.

“PN dilihat memainkan strategi mengemukakan calon dirasakan boleh memecahkan perpaduan PH-BN. Masing-masing turut mempertaruhkan artis, tokoh pendidikan, ilmuwan dan profesional bagi menawarkan ‘pakej’ pemimpin terbaik untuk rakyat.

“Mod PH-BN bertanding pada PRN berlainan dengan PRU15 kerana kali ini ada penyokong dan pengundi tersendiri bergabung melawan PN,” katanya.

Mengenai penampilan semula Mohamed Azmin di gelanggang pilihan raya selepas tewas pada PRU15, Khairul Arifin menyifatkan ia bukan laluan mudah buat Pengerusi PN Selangor itu kerana beliau membawa imej ‘orang kalah’ di Parlimen Gombak sebelum ini.

“Ia bukan perkara mudah apatah lagi dalam keadaan beliau tewas dengan majoriti undi kira-kira 2,000 di Parlimen Gombak sebelum ini. Juwairiya pula mempunyai kelebihan kerana beliau tokoh wanita penting bagi PKR,” katanya.

Sumber: Berita Harian

About Post Author

Editor

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish