4 Julai 2023, Kompleks Islam Putrajaya
Forum Bicara Madani Dalam Perbezaan Pendapat dengan tajuk “Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional” dan Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam oleh Dr Taha Jabir Fayyad al-Alwani .
Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah dalam ucapannya mengfokuskan bahawa perbezaan pandangan dan pendapat adalah lumrah semulajadi manusia yang diciptakan dengan perbezaan daya intelektual dan latar belakang pelbagai. Sahibus Samahah Mufti membawakan senario generasi ulama’ silam yang berjaya mengurus perbezaan pandangan dan pendirian dengan cara sangat murni tanpa permusuhan dan perbalahan.
Beliau juga menambah kepentingan institusi kefatwaan yang diletakkan di bawah enakmen setiap negeri dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah pertelingkahan dan perbezaan pandangan hukum dalam kalangan autoriti agama, cendekiawan dan masyarakat.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty menekankan perpaduan nasional umat islam didasari dengan adab ikhtilaf sebagai tauladan menghormati dan meraikan perbezaan dalam masyarakat. Mendepani kemajmukan dan kepelbagaian keturunan, bangsa, bahasa dan agama di Malaysia memberikan penegasan buat umat islam memupuk nilai kesaksaman bersama sebagai tauladan kepada bangsa lain bahawa umat islam umat yang berlapang dada menerima perbezaan dan bersatu-padu membina wawasan perpaduan.
Beliau ketengahkan juga bahawa sikap fanatik menjurus kepada perpecahan serius yang berpunca dari kejahilan. Pembudayaan ilmu ialah ubat efektif untuk memberikan jalan keluar kepada sikap taksub sebahagian pihak yang melagakan pertelingkahan pandangan dan gagal meraikan perbezaan.
Karya Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam oleh Dr. Taha dijadikan bahan rujukan tentang penjagaan adab dan tatakelola mengurus perbezaan pandangan dan perselisihan pendapat dalam Islam. Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam oleh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam terbitan JAKIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kini boleh dibaca melalui imbasan QR Code dan pautan Ebook https://online.fliphtml5.com/xdsox/xuot/#p=1
Average Rating