Ibadat haji, korban manifestasi ke arah menjadi Muslim terbaik – Berita Harian

Ibadat haji, korban manifestasi ke arah menjadi Muslim terbaik – Berita Harian

0 0

Datuk Dr Muhammad Nur Manuty

UMAT Islam sekali lagi dengan izin Allah SWT menyambut perayaan Aidiladha pada 1444 Hijrah. Demikianlah Sunnatullah menetapkan pelbagai kewajipan syariah ke atas umat-Nya sebagai satu manifestasi tauhid sarat dengan makna dan hikmah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa mampu dan berkuasa sampai kepadanya.” (Surah Ali ‘Imran: ayat 97).

Amat beruntung bagi sesiapa dalam kalangan hamba-Nya menjadi ‘dhuyufurrahman’ yang mendapat laba pahala tidak dapat diukur dari segi kebendaan.

Seperkara menarik perhatian, di mana sahaja umat Islam berada di atas muka bumi Allah ini, maka laungan takbir ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillah ‘il Hamd’ bergema bermulanya sambutan Aidiladha Adha hingga berakhirnya hari tasyriq.

Sesungguhnya umat Islam bertakbir dan bertahlil bertujuan untuk meraikan tradisi ibadat haji dilakukan Nabi Ibrahim.

Al Qur’an menyatakan: “Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim AS bersama anaknya (Ismail) meninggikan binaan (asas) atau tapak Baitullah (Kaabah) sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan Kami, terimalah daripada Kami (amal kami), sesungguhnya Engkau Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 127).

Sheikh Yusuf al-Qaradawi, ulama Islam ternama menyatakan dalam satu khutbah Aidiladha ketika di Medan Al-‘Bidin, Kaherah, Mesir, pada 1977, bahawa dengan laungan takbir ‘rabbani’ itu sangat besar ertinya kepada umat Islam.

Hakikatnya, takbir adalah satu manifestasi kemuliaan agama (‘izzat ‘ul Islam). Dengan takbir, umat Islam menggerakkan solat, dengan takbir mereka melaungkan azan, iqamat solat, memulakan jihad dan memulakan kehidupan penuh dengan kebaikan (hayat tayyibah).

Selain itu, ketika dikurniakan anak, umat Islam juga melaungkan azan di telinga bayi baharu dilahirkan. Oleh demikian, bersempena dengan sambutan ‘mausim ‘ul hajj’ penuh dengan berkat ini, umat Islam diminta melakukan sembelihan korban dengan bacaan ‘bismillah’ serta melakukan ihsan terhadap haiwan sembelihan ibadat korban disusuli bacaan takbir beramai-ramai.

Selanjutnya, himpunan wuquf di Arafat pada hari kesembilan Zulhijjah sangat besar maknanya bagi setiap Muslim menunaikan ibadat haji. Di sinilah perhimpunan agung umat Islam sangat unik dalam sejarah ibadah Islam.

Sesungguhnya, di Arafah jemaah haji diwajibkan memakai pakaian ihram berwarna putih tanpa jahitan tanpa mengira warna kulit dan status sosial – raja atau orang biasa serta status ekonomi – kaya atau miskin.

Kesemarataan warga Muslim datang dari pelusuk dunia ketika wukuf di Arafah menyebabkan seorang tokoh reformis kulit hitam terkenal di Amerika Syarikat (AS) terkesan jiwanya.

Beliau dikenali dengan nama ‘Malcom X’ atau Haji Abul Malik Shabbaz sebagai nama muslim, akhirnya akur dengan keunikan wukuf di Arafah bahawa Islam adalah agama suci tidak melakukan diskriminasi sesama manusia meskipun berbeza warna kulit dan status sosial.

Kaabah yang menjadi tumpuan jemaah haji ketika tawaf menjadi simbol wujudnya kesatuan Islam itu. Saat bertawaf, seluruh jemaah bersatu sebahai ummah Islam.

Sehubungan dengan itu, Ali Shari’ati menuliskan dalam karyanya berjudul ‘Haji’, bahawa semua orang mengelilingi Kaabah secara kolektif. Gerakan itu sebagai satu unit, satu kumpulan manusia. Tiada pengenalan individu, iaitu, sebagai lelaki atau wanita, mahupun hitam atau putih. Ia adalah perubahan seseorang kepada keseluruhan ‘masyarakat’. Semua ‘aku’ bergabung dan menjadi ‘kami’, menubuhkan ‘ummah’ dengan tujuan mendekati Allah”.

Menurut Ismail Raji al-Faruqi sebagaimana dituliskan dalam karyanya, ‘Tawhid: Its Implications For Thought and Life’ menjelaskan maksud ‘ummah’ merujuk kepada, “….the universal society whose membership includes the widest possible variety of ethnicities or communities, but whose commitment to Islam binds them to a specific social order”.

Beliau turut menggariskan beberapa ciri ummah iaitu menentang ‘etnosentrisme, universalisme, totalisme, merdeka dan misinya adalah meninggikan kalimat Allah.

Hal ini sesuai dengan keperluan umat Islam untuk hidup damai dalam kepelbagaian masyarakat dan agama.

Aidiladha adalah hari perayaan ‘rabaniah’. Perayaan umat berhubungan langsung dengan Allah SWT. Selanjutnya, seperkara penting, Aidiladha adalah perayaan bercitra insaniah.

Islam tidak mahu umatnya berasa gembira sesama penganut Islam semata-mata. Islam tidak mahu pemeluknya hanya mengecapi makan minum untuk seorang diri sahaja.

Justeru, Islam menganjurkan satu sunnah sangat dituntut iaitu melakukan ibadah korban. Semangat dan amalan korban diluaskan bukan sahaja untuk kaum keluarga, jiran tetangga dan fakir miskin dengan kadar satu pertiga.

Selain itu, Islam juga membuktikan toleransi dengan menjadikan hadiah daging korban bukan sahaja untuk kaum muslimin, tetapi juga diharuskan untuk warga bukan Islam.

Menurut Datuk Dr Siddiq Fadhil, seorang ilmuwan dan pemikir Islam ternama, beliau menyatakan pelaksanaan ibadah korban bukan bertujuan untuk bermegah-megah tetapi ia adalah wasilah merendahkan dan ‘menyembelih’ sifat tercela bersarang dalam hati manusia.

Oleh yang demikian, ibadah haji ini adalah satu manifestasi ‘karamah insaniah’ (kemuliaan insan), anugerah daripada Allah SWT kepada umatnya yang terangkum di dalamnya kekuatan zahir dan batin. Kedua-duanya perlu untuk melayakkan diri Muslim menjadi umat terbaik atau ‘khaira ummah’.

Penulis adalah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merangkap Presiden Kolej Dar Al-Hikmah

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Post Credit: Berita Harian

Photo Credit: Pixabay

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2023/06/1120362/ibadat-haji-korban-manifestasi-ke-arah-menjadi-muslim-terbaik

About Post Author

Editor

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish