KHAMIS, 3 NOV 2022
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM MASIH MENDAHULUI PILIHAN RAKYAT SEBAGAI PERDANA MENTERI MENJELANG PENAMAAN CALON PRU 15
Menjelang penamaan calon pada 5 November 2022 dalam pertembungan pelbagai tokoh yang disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului kedudukan sebanyak 29.6% melebihi tokoh-tokoh lain. Dapatan ini adalah hasil Survei Mood Rakyat Malaysia Menjelang PRU15 yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) bermula pada 21 – 28 Oktober 2022 melibatkan 2423 responden seluruh parlimen Semenanjung Malaysia.
Tempat kedua adalah Datuk Seri Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri sementara dengan peratusan, 25.9% mendahului Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden BERSATU iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dapatan ini dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapan pengantar beliau di Majlis Peluncuran Buku: MEMBANGUN NEGARA MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada hari ini 3 November 2022 di Hotel TAMU, Kuala Lumpur.

….
Strategi parti-parti politik dan gabungannya menamakan calon Perdana Menteri merupakan satu langkah strategik bagi memberi pilihan kepada rakyat siapakah yang bakal mengemudi negara ini sebagai Perdana Menteri Malaysia. Buat pertama kalinya dalam sejarah promosi bakal Perdana Menteri menjadi saingan yang bakal mengikat pengundi.
KETERUJAAN UNTUK KELUAR MENGUNDI – 81%
Dapatan IDE dalam survei ini mendapati bahawa seramai 81% rakyat Malaysia (Semenanjung) menyatakan keterujaan mereka untuk turun mengundi pada PRU 15 kali ini. Dalam pembentangan ini, Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, menjelaskan pengalaman IDE menjalankan Survei pada 2018, keterujaan mengundi dalam pilihan raya ketika itu adalah 80%. Namun, peratusan keluar mengundi PRU 14 akhirnya adalah 83%.
Keterujaan yang meningkat ini berbanding dengan siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri pasca PRU 14, yang jauh lebih rendah. Peningkatan ini bertolak dari aktifnya kegiatan kempen yang rancak dijalankan oleh semua parti-parti politik sejak pengumuman pembubaran Parlimen dan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun demikian, peratusan pengundian mungkin boleh terjejas jika berlaku keadaan yang luar jangka dan menyusahkan pengundi seperti banjir, cuaca buruk dan isu-isu teknikal yang mungkin timbul dihari pengundian.
GOLONGAN ATAS PAGAR – 29.2%
Survei yang dijalankan oleh IDE juga mendapati 29.2% pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih parti yang akan diundi dalam PRU 15 pada 19 November 2022 akan datang, berkaitan soalan parti yang bakal dipilih menjelang PRU 15. Oleh itu, golongan ini adalah golongan ‘atas pagar’ yang mengundi berdasarkan sentimen, isu, calon dan perkembangan politik semasa. Golongan ini tidak terikat sebagai pengundi tegar parti dan kewujudan golongan ini amat besar dalam PRU kali ini. Golongan ini akan menjadi penentu khususnya dalam pertandingan sengit 3 penjuru atau lebih.
Oleh demikian ruang masih terbuka luas kepada calon-calon yang mewakili parti atau bebas untuk berkempen bagi menambat hati pengundi untuk membuat pilihan.
PENDIRIAN DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN – 19% hari pengundian
Survei ini juga mendapati bahawa 19% responden memilih untuk membuat penentuan pemilihan siapakah yang bakal mereka undi hanya ditentukan pada hari pengundian. Ahli tegar parti yang disebut sebagai undi asas atau ‘based vote’ telah wujud sekitar 34.8% adalah golongan yang telah membuat keputusan. 32.3% pula menunggu siapakah calon yang bakal ditampilkan nanti selepas penamaan calon.
Ruang demokrasi masih terbuka luas kepada rakyat Malaysia pelbagai umur dan kaum untuk menilai perkembangan parti-parti politik dan calon-calon yang bertanding dalam PRU 15.

Generasi muda khususnya golongan UNDI 18 dan pengundi 30 tahun ke bawah adalah majoriti pengundi yang kebanyakannya membuat keputusan seminggu sebelum pengundian (11.1%) dan pada hari pengundian (19.0%).
Pembentangan Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapan pengantarnya boleh dilayari dari pautan berikut:
…..
……
Institut Darul Ehsan (IDE), mengadakan Survei Mood Rakyat Malaysia Menjelang PRU15 yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) bermula pada 21 – 28 Oktober 2022 melibatkan 2423 responden dari 165 parlimen Semenanjung Malaysia. Dapatan ini adalah sebahagian daripada projek penyelidikan yang dijalankan dengan bersama oleh IDE, IESAD UNISEL dan TOYO University di bawah projek penyelidikan Landskap Politik Malaysia (MPL) 2022. Survei melibatkan enumerator terlatih yang merupakan graduan pelbagai Universiti di Semenanjung Malaysia. Survei dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain berumur 18 tahun ke atas, dengan kaedah pensampelan berperingkat dan berstrata dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan sistem aplikasi e-survei digital.
#moodrakyatpru15: SIRI 01
Info lanjut hubungi: ide@ideselangor.com
Average Rating