Catatan Takziah….
Assalamualaikum,
19 Sept 2022; Petang Ahad, 18 September 2022, sejak pukul 3.30 petang hingga pukul 7.30 malam keluarga besar WADAHNYA, ABIM dan PKPIM berkumpul di Hospital Serdang bagi menyatakan takziah dan kesedihan di atas kembalinya ke rahmatullah, Almarhum Prof Dr. Azyumardi Azra ke rahmatullah pada pukul 12.30 tengahari semalam.
Rasa sedih ini bagi berkongsi dengan isteri Almarhum, Ibu Ipah Farihah dan anaknya Firman yang turut berada di hospital sejak semalam.
Turut bersama di hospital warga Indonesia dalam kalangan mereka yang turut mengenali Almarhum dan DUBES KBRI. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr. Wan Azizah juga turut berada di hospital bagi melahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah.
Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat yang dikenali sejak tahun 1993. Saya mengenali Almarhum apabila Almarhum datang ke University Edinburgh ketika menjadi visiting Scholar di University Oxford.
Saya banyak berkongsi persamaan dengan Almarhum. Kami dilahirkan pada tahun yang sama dan bulan yang sama.
Bidang kepakaran juga hampir sama, mengkaji pemikiran Islam dalam masyarakat dan hubungannya dengan Timur Tengah. Almarhum mengkaji bagi Abad ke-17 hingga 19, manakala saya mengkaji dari akhir Abad ke-18 hingga awal Abad ke-20.
Penyeliaan tesis kami juga melibatkan Prof William R. Roff yang berpindah ke Edinburgh pada awal tahun 1990-an. Kami sering bersama dalam persidangan antarabangsa yang melibatkan kajian tentang diaspora Hadhrami.
Ini termasuklah persidangan yang diadakan di London, Amsterdam dan Singapura. Kajian saya banyak dalam konteks Malaysia manakala Almarhum dalam konteks Indonesia.
Sebagai seorang sarjana yang dilatih di Barat dan dengan pengetahuan sejarah Islam tempatan yang mantap, Almarhum sering diundang untuk membicarakan pelbagai tajuk berkaitan dengan masyarakat Islam dalam pelbagai wacana akademik yang diadakan di Malaysia.
ABIM merupakan antara organisasi yang paling awal mengundang Almarhum dalam pelbagai persidangan yang diadakan. Almarhum kembali ke rahmatullah ketika ingin menghadiri persidangan anjuran ABIM sempena Muktamar Sanawi ke-51 yang diadakan pada hari Sabtu.
Sejak bertemu di UK hubungan peribadi dengan Almarhum terus terjalin. Pada bulan Disember 1997 saya berkunjung ke Jakarta bersama-sama dan turut memenuhi undangan makan tengahari bersama-sama keluarganya di rumahnya.
Almarhum juga pernah berkunjung ke rumah saya di Kajang Selangor. Sebelum pandemik covid-19 beliau di undang mengisi program Seminar Antarabangsa Hidup Bersama Dalam Budaya Damai anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dan Sasakawa Foundation.
Maklumat terakhir yang diterima petang tadi adalah jenazah Almarhum akan diterbangkan dengan pesawat pagi besok untuk urusan pengebumian di Jakarta.
Sama-sama kita doakan semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalanganku yang diberi rahmat oleh-Nya. Al-Fatihah.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman
(Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, UNISEL),
Pengerusi Eksekutif IDE,
Pengerusi MSK WAP.
Average Rating