SUDUT PANDANG TOK ABAH
PRU-15: KE MANA ARAH DAN HALA TUJUNYA
Pru-15 semakin hampir. Setiap kita mula dihidangkan dengan berita-berita politik, perbezaan pandangan dan pendapat pemimpin-pemimpin politik yang mewakili pelbagai ragam ideologi politik parti yang diwakili. Malangnya, oleh kerana bidang politik dimonopoli oleh golongan “elit politik” yang berada di persada kuasa “corridor of power”, maka perbezaan pendapat dikalangan mereka ini menimbulkan konflik-konflik yang cukup tegang. Konflik-konflik politik ini semakin menajam apabila ia tidak lagi bersifat cuma perbezaan pendapat, tetapi lebih dibauri oleh sentimen melulu dan emosi yang tidak terkendali. Kesannya, ialah rakyat yang telah lelah, “fatigue” dengan “politiking” yang berpanjangan dikalangan elit-elit politik ini, semakin menjauhkan diri mereka dari politik. “Siapa yang naik, siapa yang dipilih, sama saja isunya, kuasa, kedudukan, dan agenda puak atau kabilah yang bersama dengan mereka”. Khalas, full stop.
Dalam pilihan raya nanti, mereka yang berfikir seperti ini bukan sahaja akan menjadi pengundi atas pagar, tetapi tidak mustahil menarik diri untuk tidak terikat dalam proses pilihan raya. Kalau di Indonesia, mereka ini dikenali sebagai “golput”, atau “golongan putih”. Sejujurnya, krisis politik dan pergelutan kuasa yang berlaku sekarang membunuh integriti politik dan menjadikan demokrasi semakin pudar dan kelam. Sistem demokrasi sebenarnya memungkinkan penyertaan massa, warga dan umat dalam pelbagai proses politik termasuk menghadapi pilihan raya. Namun, pemikiran politik warga dan umat tidak berkembang kerana gelanggang politik dipenuhi dengan propaganda murahan para juru kempen politik pilihan raya dengan budaya fitnah, tohmahan, malahan hanyut dengan maki hamun, sumpah seranah yang memecah-belahkan warga dan umat.
Kesimpulannya, bagi tok abah, Pru-15 memerlukan pimpinan parti politik menampilkan aktivis-aktivis politik yang bukan sahaja faham segala ragam sepak terajangnya, tetapi mempunyai kemampuan ilmu dan pemikiran politik yang serius. Ini adalah kerana banyak isu-isu politik masa kini perlu dianalisis secara ilmiah. Sementara isu-isu politik dalam kehidupan warga dan umat pula perlu dianalisis dengan kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti semasa dan lingkungannya. Proses tajdid dan islah, perlu diangkat kembali sebagai “voice of conscience”, untuk melahirkan bangsa yang bermaruah. Cabaran untuk Pru-15, kita memiliki ramai “aktivis politik” tetapi kita masih kekurangan “aktivis-pemikir politik”.
Zaman atau era “politician with no brain” sudah berakhir.
Wallahu ‘a’lam.
Dato’ Hj Ismail Yusop
Pengarah Eksekutif
Institut Darul Ehsan (IDE)
28 Jun 2022
Average Rating