Shah Alam – Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil serta Kursi Siddiq Fadzil yang berperanan bagi menjalankan kajian untuk membumikan pemikiran Almarhum Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil dalam agama, sastera, kemasyarakatan dan kepimpinan telah dilancarkan pada hari Khamis, 17 Februari 2022 yang lalu.
Majlis pelancaran ini telah dihadiri oleh seramai 300 orang peserta yang hadir secara fizikal di Dewan Pro-Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam dengan kawalan SOP yang ketat, serta penyertaan seramai 150 orang peserta di dalam talian. Liputan secara langsung majlis perasmian ini yang ditayangkan melalui laman media sosial Facebook Institut Darul Ehsan (IDE) juga telah menerima sebanyak 32,000 tontonan secara maya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan untuk menambah dana RM4 juta untuk melengkapkan penubuhan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (UNISEL).
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, dana itu merupakan tambahan RM1 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2022 untuk menyempurnakan proses penterjemahan karya cendekiawan berkenaan.
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan kita bersetuju untuk menambah RM4 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM5 juta untuk institut ini,” katanya yang dipetik daripada ucapan perasmian beliau bagi pelancaran Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil.
Hal itu dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Selangor sebagai menghargai segala usaha dan jasa ilmuwan berkenaan kepada negara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan agama Islam.
Tiga buah buku baharu karya Almarhum Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang bertajuk On Islam & Being Malay, Minda Melayu Baharu dan Islamic Movement juga telah turut dilancarkan yang diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE). Acara peluncuran buku ini telah disempurnakan dengan ucapan peluncuran oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Emeritus International Institute of Islamic Thought (IIIT). Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan karya-karya tersebut boleh menghubungi Encik Hanif Ahmad di talian 017-544 2085.








Sesi forum Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil yang dianjurkan telah menampilkan tiga orang panelis ulung iaitu Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty (Presiden Kolej Dar Al-Hikmah), Prof. Madya Dr. Zulkifli Hassan (Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Dr. Nor Salimah Abu Mansor (Penyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin)
Berikut dilampirkan bahan pembentangan yang dibentangkan oleh para panelis dalam sesi forum Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil:














Rakaman siaran ulangan Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil dan Majlis Pelancaran Institut Pemikiran & Kepemimpinan Siddiq Fadzil ini boleh ditonton semula di laman Facebook Institut Darul Ehsan (IDE) pada pautan berikut:
https://www.facebook.com/ideselangor/videos/5162318933786671/
Average Rating