UCAPAN DATO’HJ ISMAIL YUSOP SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN BUKU JEJAK-JEJAK PENCERAHAN UMAT

UCAPAN DATO’HJ ISMAIL YUSOP SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN BUKU JEJAK-JEJAK PENCERAHAN UMAT

0 0

TEKS UCAPAN
YANG BERBAHAGIA DATO HAJI ISMAIL YUSOP

Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan
PELUNCURAN BUKU ‘JEJAK-JEJAK PENCERAHAN UMAT’ KARYA DR MUHAMMAD NUR MANUTY
23hb November 2021 di Hotel Bangi Resort

Awal bicara saya pada petang ini, izinkan saya untuk merakamkan rasa kasih yang teramat sangat terhadap tokoh besar yang kita raikan pada petang ini, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty yang lebih mesra saya selalu panggil Ustaz Mad Nur. Sejujurnya, saya rasa teramat kerdil apabila saya dimaklumkan oleh Ustaz Mad Nur bahawa saya diminta untuk memberikan ucapan apresiasi dalam Majlis Peluncuran Memoir Beliau Jejak-Jejak Pencerahan Umat menyentuh mengenai penglibatan beliau dalam politik tanah air. Sesungguhnya, ini adalah suatu penghormatan yang amat tinggi yang akan sentiasa saya kenang sehingga ke akhir hayat.

Saya percaya Ustaz Mad Nur mempunyai senarai yang panjang tokoh-tokoh lain yang saya yakin boleh memberikan ‘insight’ yang lebih mendalam mengenai keterlibatan beliau dalam gelanggang siyasah. Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar mudahkan lisan saya petang ini dan agar saya tidak menghampakan beliau serta semua tetamu istimewa beliau yang bersama pada petang ini.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Membaca setiap halaman dari penulisan beliau dalam Memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat untuk diulas mengenai penglibatan beliau dalam gerakan siyasah dalam waktu yang terbatas bukanlah suatu yang mudah untuk dilakukan. Namun, apa yang dapat disimpulkan adalah penglibatan beliau dalam siyasah sebenarnya adalah kesinambungan dari penglibatan beliau sebagai seorang tokoh aktivis yang bergerak dalam gerakan dakwah. Membaca dan cuba memahami dari halaman ke halaman dalam memoir ini yang melebihi empat ratus muka surat, meyakinkan saya bahawa dengan pengalaman lama beliau sebagai aktivis dan ilmuan gerakan dakwah khususnya dengan penglibatan beliau dalam ABIM menjadi faktor utama yang mendorong serta menjadi faktor beliau berijtihad untuk melibatkan diri dalam gelanggang siyasah. Sepertimana ungkapan oleh Dato’ Hj Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia dalam kata pengantar beliau untuk memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat Ini, penglibatan Ustaz Mad Nur dalam politik kepartaian adalah dalam merangka tassawur ‘Berpolitik di jalur dakwah, berdakwah di jalur politik’ seperti yang disarankan oleh Almarhum Bapak Muhammad Nassir, Mantan Perdana Menteri Negara Kesatuan Republik Indonesia dan pengasas Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Namun, keputusan untuk terlibat dalam politik kepartaian bukanlah suatu yang mudah untuk beliau kerana keberadaan beliau sebagai aktivis gerakan Islam adalah hasil didikan dan bimbingan dua tokoh figura penting dalam gerakan gelombang kebangkitan Islam sejak dari awal hingga kini. Kedua-dua tokoh ini yang bersama kita pada petang ini tidak lain tidak bukan adalah Yang Berbahagia Profesor Ustaz Dr Razali Nawawi dan Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bagi Ustaz Mad Nur, Dr Razali Nawawi adalah Murabbi, guru yang mengenal pasti potensi dan bakat beliau sebagai seorang ilmuan dan aktivis untuk gerakan dakwah Islamiyyah. Bahkan, Murabbi ini adalah tokoh yang bertanggungjawab membina karier Ustaz Mad Nur dalam jejak perjalanan beliau sebagai seorang ahli akademik dan tokoh intelektual Islam.

Oleh hal yang demikian, beliau tidak cenderung untuk menggalakkan Ustaz Mad Nur untuk terlibat dalam siyasah. Sebaliknya, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula adalah seorang pemimpin dan aktivis yang beliau kenali sewaktu beliau belajar di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Persahabatan beliau bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 1968 melalui penglibatan bersama dalam PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia) pada waktu itu, Ustaz Mad Nur adalah Setiausaha Agong PKPIM. Beliau sentiasa hingga kini, menganggap Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh yang sukar untuk ditinggalkan kerana beliau merasakan kefahaman Islam yang dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi motivasi untuk beliau mendalami ilmu Islam yang syumul dan menyeluruh. Thiqah atau ketaatan dan kesetiaan beliau dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat tinggi di samping dalam waktu yang sama kepatuhan dan hormat beliau terhadap Profesor Dr Razali Nawawi sebagai Murabbi dalam gerakan dan dunia keintelektualan Islam.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya menceritakan hal ini kerana sepanjang persahabatan saya bersama beliau dalam sebagai sahabat seperjuangan dalam politik kepartaian, beliau pernah meluahkan dilema beliau ketika membuat keputusan untuk terlibat dengan politik. Oleh sebab itu, secara peribadi, saya menolak pandangan sesetengah pihak bahawa penglibatan Ustaz Mad Nur di jalur politik adalah sebagai a reluctant politician semata-mata kerana ketaatan beliau kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sahaja. Bagi beliau, kedua-dua tokoh ini mempunyai peranan dan pengaruh yang sangat besar dalam perjalanan beliau sebagai seorang aktivis gerakan, pemikir dan ilmuwan yang terlibat dalam usaha islah dan tajdid iaitu reformasi dan perubahan untuk mengangkat idealisme unggul membina tamdun dan peradaban umat.

Penglibatan beliau dalam politik adalah atas kesedaran terhadap nasib umat yang sering dikupas dalam usrah, tamrin, seminar dan muktamar seperti yang diungkapkap oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memoir ini, yakini sebagai usaha yang berterusan yang perlu dipugar menerusi upaya islah dan tajdid yang berterusan di setiap peringkat. Kesedaran ummatik ini yang terbit dari dhamir insan yang bernama Muhammad Nur Manuty untuk terjun ke gelanggang siyasah syariah. Untuk itu, saya ingin menyimpulkan bahawa keberadaan beliau dalam gerakan siyasah adalah manifestasi conviction beliau kepada konsep islah dan tajdid yang diperjuangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dr Razali Nawawi dan seluruh saf kepimpinan Awallun gerakan kebangkitan umat di awal 70-an. Inilah faktor utama yang mendorong beliau untuk bersama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam politik atau siyasah.

Penglibatan beliau dalam politik adalah sumbangan besar beliau kerana susuk keterampilan beliau sebagai seorang tokoh ilmuan dan intelektual Islam yang terjun dalam gelanggang real politic yang dipenuhi dengan sepak terajang dan pelbagai situasi yang amat mencabar untuk beliau menyesuaikan diri. Bukan mudah, untuk beliau mempertahankan prinsip beliau dengan nilai-nilai ilmu pengetahuan yang beliau ada dalam gelanggang real politic yang bersifat pramagtik yang kadangkala menjadi Machiavelli, seolah-olah matlamat menghalalkan cara. Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kata pengantar memoir ini juga memetik bahawa Ustaz Mad Nur bukanlah watak politikus rakus yang sinonim dengan sepak terajang politik tanah air masa kini. Bahkan, menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim, gerakan politik memerlukan watak-watak siuman dan segar seperti Ustaz Mad Nur.

Personaliti seperti ini mampu mengharmonikan gelora dalam real politic dengan menjadikan jalur dakwah untuk berdamping dengan semua dan menyederhanakan perbalahan serta fraksi dalam parti politik. Akhir bicara, izinkan saya membaca sepotong ayat al-quran dari Surah Al-Mulk ayat 2 yang Ustaz catatkan di penghujung Memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat ini.

Maksud Ayat:

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keaddan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu, Lagi Maha Pengampun bagi (orang-orang yang bertaubat)”

Perjalanan hidup Ustaz yang dipandu oleh impian luhur menyumbang terhadap cita-cita menjayakan nahdah umat dalam catatan bingkisan hidup Ustaz ini pasti menjadi Ibrah kepada kami semua terutamanya kepada generasi muda. Semoga ia menjadi amal jariah di alam baqa’. In shaa Allah.

Hasbunallah wa ni’mal wakil.

Wallahualam, sedikit bingkisan apresiasi untuk saya menjadi saksi sebagai kepada seorang Murabbi dan sahabat yang bernama Dr Muhammad Nur Manuty.

Sekian, Terima Kasih.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish