SELANGOR SEBAGAI JANTUNG PERPADUAN NEGARA

SELANGOR SEBAGAI JANTUNG PERPADUAN NEGARA

0 0

WEBINAR IKRAR SETIAKU:

PROGRAM BULAN KEBANGSAAN 2021 SEMARAK PERPADUAN RAKYAT

TAJUK : SELANGOR SEBAGAI JANTUNG PERPADUAN NEGARA

PENDAHULUAN

  1. Membicarakan isu perpaduan rakyat dalam konteks negeri Selangor tidak boleh lari dari epistomologi negara Malaysia ketika mencapai kemerdekaan, iaitu untuk mengembalikan keamanan dan kemakmuran rakyat. Kebebasan ini adalah seiring dengan tonggak dalam membolehkan rakyat hidup dengan harmoni secara bersama.
  2. Kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia adalah sangat sinonim dengan kemajmukan warga Selangor yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan peluang. Sejujurnya, cita-cita rakyat baik di peringkat negara mahupun negeri ialah untuk menikmati kehidupan yang aman dan harmoni, maju dan makmur, adil dan saksama, dan bebas daripada diskriminasi dan kesenjangan. Ia adalah impian yang tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, prinsip demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dan rukun negara.
  3. Kepelbagaian seharusnya dilihat sebagai suatu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukan sebagai kelemahan yang menyukarkan. Di sebalik wujudnya perbezaan-perbezaan kaum dan agama, wujud sekian banyak persamaan-persamaan dari segi nilai-nilai dan prinsip-prinsip fundamental  yang seharusnya diurus, dibangun dan dikembangkan menjadi elemen-elemen persefahaman dan perpaduan, juga dalam bentuk dasar-dasar dan program-program yang memperkukuhkan bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenar.
  4. Perbincangan mengenai tajuk Selangor sebagai Jantung Perpaduan Negara merupakan terma yang mahu diangkat menepati maksud Fiqh Ta’ayush’, hidup bersama dalam kepelbagaian atau diungkapkan sebagai Peaceful Co-existence.

LATAR BELAKANG

  1. Wacana dan perbahasan mengenai perpaduan dalam konteks pembinaan negara bangsa seringkali terperangkap dengan pendekatan kontemporari dan bersifat bermusim. Lebih menyedihkan ia terperangkap dengan ilmu kolonialisme penjajah yang masih memberikan tumpuan tentang ras, kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai faktor penghalang untuk membina kehidupan bersama.
  2. Kita tidak menafikan pelbagai dasar bagi mewujudkan perpaduan antara kaum telah diperkenalkan sebelum ini untuk membina integrasi nasional seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan termasuklah yang terkini iaitu dasar atau Blue Print Perpaduan Negara.
  3. Namun begitu, secara umumnya dasar-dasar ini walaupun memiliki kekuatan integratif yang boleh menjadi landasan proses pembinaan suatu bangsa, tetapi kekurangan penekanan dan pemahaman terhadap pelaksanaannya menjadikannya kurang berkesan. Ini dapat dibuktikan dari semasa ke semasa sikap dan perilaku racist atau perkauman terus mengejala.
  4. Secara jujurnya, kita masih gagal dalam memahamkan rakyat, sebagai warganegara, sama ada melayu muslim atau yang bukan muslim dalam memahami tanggungjawab bersama untuk membina dan mempertahankan keharmonian negara. Walaupun setelah 64 tahun merdeka, isu ini masih diguna pakai sebagai api yang merencatkan perpaduan negara yang ingin dikecapi. Barangkali, tidak keterlaluan untuk diperingatkan semula sejarah peristiwa hitam dan tragik 13 Mei 1969.
  5. Atas sebab ini, ada keperluan atau urgency untuk masyarakat Malaysia didedahkan cara berfikir yanng menepati hasrat maksud hidup kebersamaan atau Fiqh Ta’ayush As-Silmi: Peaceful Co-existence ini. Ia adalah satu formula asas, terbukti mampu mengukuhkan perpaduan rakyat dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

ISU: MASALAH DAN CABARAN

  1. Perbahasan mengenai isu perpaduan dalam konteks pembinaan negara bangsa perlu diolah dalam kerangka pemikiran yang lebih terbuka melangkaui pengaruh kolonialisme. Ia mesti menjadi thinking process yang berterusan kerana isu perpaduan dalam konteks Malaysia adalah work in progres yang belum selesai.
  2. Berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan analisis terhadap kajian-kajian,penulisan, karya-karya (literature) yang telah dihasilkan oleh mereka yang mempunyai autoriti dalam isu pembinaan negara bangsa, dapat dirumuskan tiga perkara penting yang menyebabkan kita terperangkap dengan halangan pemikiran yang lebih terbuka untuk menangani isu hidup damai bersama sehingga ia masih menjadi cabaran dalam pembinaan bangsa Malaysia :

2.1. Sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia tidak bermula pada zaman kolonialisme tetapi telahpun bermula sebelum  berlaku zaman ini. Realiti sejarah kedudukan strategik Semenanjung Tanah Melayu sebagai A Maritime Archipelago (Tanah Air),  menjadi tempat persinggahan bagi perantau-perantau dari timur dan barat. Perantau-perantau ini sama ada dari negeri China, benua India dan juga dari sebelah Asia Barat menjadikan tanah semenanjung ini tempat untuk mereka berehat, berurus niaga, bahkan ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus menetap. Di samping itu, tanah semenanjung melayu ini menjadi pusat migrasi setempat oleh suku-suku kaum dari persekitaran kepulauan yang berhampiran. Maknanya realiti kemajmukan bukanlah suatu yang asing bagi penduduk Pribumi. Masyarakat Pribumi meraikan kehadiran kepelbagaian atau kemajmukan dengan penuh tolak ansur dan toleransi sehingga ia menjadi suatu peradaban yang diikat bersama nilai-nilai sivil dan partisipasi di bawah naungan payung besar bangsa. Terbukti hidup bersama dalam kepelbagaian, peaceful co-existence adalah realiti kehidupan masyarakat.

2.2 Kehadiran penjajah khususnya British dengan pendekatan divide and rules telah menyebabkan berlaku pemisahan antara negara dan bangsa. Buktinya, pihak British telah meletakkan hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran khususnya ekonomi sebagai urusan kenegaraan. Manakala, hal-hal yang berkaitan agama dan budaya di bawah kuasa sultan. Isu menguruskan hal bangsa yang terkait dengan perpaduan langsung tidak disentuh.

2.3 Pasca kolonialisme atau penjajahan telah memberikan kesan yang amat besar kepada proses penyatuan dan pembinaan bangsa. Kolonialisme menyebabkan telah berlakunya kebangkitan nasionalisme yang meninggalkan isu penyatuan bangsa. Contohnya adalah isu Malayan Union. Sesungguhnya legasi peninggalan ini telah menajdi beban kepada proses pembinaan bangsa Malaysia selepas kemerdekaan.

  • Fakta sejarah telah membuktikan peradaban alam melayu menerima kepelbagaian dan kemajmukan dalam konteks kenegaraan. Ternyata faktor kolonialismelah yang menyebabkan nilai-nilai kebersamaan dalam bingkai kesatuan yang wujud dalam zaman pra-kolonial dilupakan. Kita terperangkap dalam satu sindrom yang disebut sebagai The Captive Mind akibat daripada kesan penjajahan ini. Kita gagal untuk mengikat negara dan bangsa (state vs nation). Isu ini tidak lagi menjadi isu rakyat tetapi menjadi isu yang diangkat sebagai perjuangan nasionalisme.
  • Perjuangan yang berteraskan nasionalisme meletakkan politik dan kepimpinan politik sebagai peneraju utama dalam konteks pembinaan bangsa dan negara. Sebaliknya, sejarah telah membuktikan pembinaan negara bangsa telah berlaku above politics and political discourse (mengatasi politik).Bahkan pasca kemerdekaan, lebih 60 tahun rakyat di negara ini telah dibiasakan untuk tidak campur aduk dalam urusan politik dan kenegaraan. Doktrin yang dibina ialah politik adalah hak eksklusif parti politik dan pemimpin parti politik. Inilah tragedi, realiti hakikat yang telah berlaku dalam sejarah pembinaan bangsa di negara ini. Oleh sebab itu, kita perlu mengangkat kembali maruah dan pemikiran yang baru dengan iltizam dan usaha yang berterusan.

SELANGOR SEBAGAI JANTUNG PERPADUAN NEGARA

  1. Ternyata pengalaman pra-kolonial membuktikan bahawa tanah air ini telahpun mempunyai model pembinaan bangsa Malaysia. Payung peradaban alam melayu sebenarnya telah menjadi payung yang membentuk bangsa anak watan, warga atau lebih tepat kewarganegaraan (citizen of Malaysia), yang mempunyai latar belakang kepelbagaian tetapi telah diikat dalam suatu bingkai kesatuan – Fiqh Ta’ayush As-Silmi atau “Peaceful co-existence”. Inilah realiti bangsa Malaysia yang kita impikan.
  2. Negeri Selangor yang selama ini menjadi nadi pentadbiran negara, sebenarnya telah mendahului Malaysia dalam mengangkat idea besar pembinaan bangsa Malaysia. Sifat kosmopolitan dengan pembangunan infrastruktur dan sosio ekonomi yang pesat, bukan sahaja membuka peluang ekonomi dan pekerjaan tetapi juga peluang membina kehidupan yang lebih baik dalam sebuah masyarakat yang majmuk bersatu padu dan harmoni.
  3. Sebagai sebuah “Cosmo State”, Selangor menjadi pusat migrasi dalaman dan luaran. Kerencaman ini menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang mempunyai “global citizen” yang hidup bersama, diikat dengan nilai-nilai sivil dan partisipasi yang datang dari pelbagai rumpun dan latar belakang.
  4. Warga Selangor menjadi bangsa yang tidak lupa akar dan jati diri, telah membuktikan kemampuan untuk hidup bersama dengan resam dan budaya kepelbagaian. Sejarah kesultanan Selangor diceritakan berdarah bugis, sementara pembesar negerinya dikatakan dahulunya dari rumpun mandaling, dan rakyatnya pula berketurunan jawa. Pasca kemerdekaan dan post-kemodenan, kepelbagaian warga Selangor menjadi lebih rencam dengan migrasi suku kaum dan anak watan dari seluruh pelusuk alam. Sejujurnya, memang wajar Selangor diangkat sebagai Jantung Perpaduan Negara.

SEMARAKKAN PERPADUAN RAKYAT

  1. Secara umumnya, perubahan kerajaan pada pilihanraya umum ke-14 yang lalu, memberi impak yang besar kepada pola pemikiran rakyat terhadap isu perpaduan dikalangan rakyat. Rakyat menjadi semakin peka dengan hak asasi dan kebebasan bersuara termasuk kebebasan media yang telah menyebabkan wacana mengenai perpaduan dan pembinaan bangsa Malaysia berlaku secara lebih terbuka dikalangan masyarakat sivil. Sewajarnya, perkembangan ini perlu dilihat secara positif kerana ia bukan sahaja menyuburkan proses demokrasi tetapi yang lebih penting ia perlu diterjemahkan terhadap pemahaman prinsip-prinsip besar terutamanya dalam membentuk perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa di negara ini.
  2. Malangnya, perubahan kerajaan yang berlaku dalam PRU-14 tersebut lebih menumpukan hanya kepada perubahan politik atau sekadar perubahan rejim dan bukanlah lebih menumpukan kesediaan kepada politik perubahan atau perubahan budaya yang seharusnya menjadi transformasi harapan baru untuk membina negara bangsa yang lebih bersatu padu. Pesepsi yang terbina di akar umbi adalah perubahan kerajaan tidak menjurus kepada memenuhi harapan rakyat untuk melihat Malaysia Baharu yang bukan sahaja lebih demokratik tetapi lebih meraikan kepelbagaian yang sememangnya menjadi wajah sebenar masyarakat Malaysia yang bersifat plural dan majmuk. Ini telah menyebabkan kekecewaan di akar umbi khususunya dikalangan rakyat yang dengan berani telah mengundi untuk perubahan. Keadaan menjadi bertambah bercelaru dengan isu-isu perkauman, agama dan bangsa yang dimainkan melalui media sosial secara berleluasa sehingga menyebabkan pesepsi negatif terhadap kedudukan dan kuasa kerajaan yang ada. Sedangkan, dalam sistem demokrasi yang dimaksudkan ialah demokrasi yang melibatkan rundingan dan muafakat, dan bukannya persaingan.
  3. Kerana itu, perlu ada penegasan bahawa isu perpaduan dan pembinaan bangsa mesti melangkaui perbahasan politik. Perlu ada usaha untuk menyemarakkan pemikiran masyarakat yang lebih terbuka, berhemah dan tidak terperangkap dengan pemikiran kolonial penjajah yang terikat dengan isu ras, kaum dan budaya. Perlu diingatkan sejarah telah membuktikan realiti sosial setiap hari kehidupan masyarakat adalah berbeza dengan apa yang ditentukan oleh pihak berkuasa terutamanya dikalangan ahli-ahli politik. Pengalaman pandemik covid-19 telah menimbulkan kesedaran yang tinggi dikalangan rakyat bahawa keputusan-keputusan pemerintah lebih memenuhi citarasa politik daripada menyelesaikan isu rakyat. Sebagai state holder dalam pembinaan negara bangsa, rakyat bukan sahaja mempunayi hak untuk memilih kerajaan, tetapi juga mempunyai hak untuk menentukan peradaban anak bangsa.yang dinginkan. Hak ini sebenarnya telah pun termaktub dalam perlembagaan (Constitutional right as citizen), lebih tepat hak sebagai kewarganegaraan.

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

  1. Malaysia baharu yang lebih bersatu bukan sekadar menggantikan sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan yang lain. Sedangkan, mentaliti mindset, nilai-nilai hidup, karakter dan budaya yang diamalkan masih tetap sama. Kerana itu, yang seharusnya menjadi agenda utama Malaysia baharu untuk membina perpaduan dan bangsa Malaysia yang diimpikan ialah transformasi kemanusiaan dan kebudayaan.
  2. Oleh sebab itu, untuk mengangkat kembali maruah dan pemikiran baru, perlu ada iltizam dan usaha yang berterusan untuk mengembalikan semula nilai-nilai penting yang telah membentuk kehidupan rakyat yang pelbagai dalam satu bingkai kesatuan (peaceful co-existence). Asas yang menjadi tunjang kepada pembentukan negara bangsa ialah konsep karamah Insaniah atau human dignity dikalangan setiap warga Malaysia. Walaupun Malaysia telah melahirkan ramai cerdik pandai dan golongan intelektual, namun essence atau nilai-nilai insaniah ini tidak diserlahkan sebagai budaya dalam kehidupan masyarakat yang berilmu.
  3. Pendidikan demokrasi dan literasi politik perlu dilakukan segera agar demokrasi sebenar dapat dibina secara matang bagi melahirkan budaya yang lebih harmoni dari pelbagai aspek terutamanya perpaduan yang hendak diperkukuhkan. Pendidikan tentang Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 serta Rukun Negara perlu dijadikan sebagai agenda membentuk literasi kenegaraan.
  4.  Sebagai satu titik permulaan, persiapan diri dan masyarakat untuk kita mempunyai iltizam yang tinggi untuk melangkah ke hadapan dalam usaha membina negara bangsa, dicadangkan:
  •  Mempromosikan sikap menghargai perbezaan dan kepelbagaian dikalangan anaka watan untuk membangun budaya hidup damai dalam bingkai kesatuan.
    • Perlu ada satu mekanisme sebagai kayu ukur terhadap tahap pendidikan demokrasi dikalangan rakyat dalam membangunkan formula Fiqh Ta’ayush As-Silmi (peaceful co-existence index).
    • Pemahaman terhadap demokrasi berperlembagaan perlu ditekankan dikalangan rakyat melalui program pendidikan mahupun forum perbincangan bersama. Ini juga berkait rapat untuk mewujudkan dan memupuk keharmonian antara budaya dan agama tanpa mengenakan sekatan untuk bersuara selagi ia tidak mencemarkan keharmonian bersama.
  • Kedamaian hidup bersama dalam kepelbagaian adalah suatu tuntutan keagamaan dan sekaligus menjadikan ia suatu keperluan manusiawi. Untuk itu, Fiqh Ta’ayush As-Silmi harus dikembangkan di tengah kemajmukan rakyat Malaysia bagi menyuburkan perpaduan dan menghentikan kebencian antara kaum yang seharusnya tidak releven dijadikan sebagai suatu polemik, kerana kita percaya Islam itu membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil al-alamin).

Disediakan oleh: Dato’ Haji Ismail Bin Yusop, Ketua Kluster Pembinaan Negara Bangsa Dan Jaringan Antarabangsa
Institut Darul Ehsan (IDE)

Selangor Darul Ehsan

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish