KESALINGAN ANTARA BLOK KERAJAAN DAN BLOK PEMBANGKANG ADALAH SUATU MUAFAKAT KERJASAMA POLITIK DEMI RAKYAT
Institut Darul Ehsan (IDE) berpandangan tandatangan kerjasama antara Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang yang telah dilakukan pada 13hb September 2021 di Parlimen Malaysia merupakan suatu nafas baharu yang dilakukan oleh anggota Wakil Rakyat. Proses kesalingan muafakat politik ini membuktikan jiwa besarnya ahli politik dalam kalangan blok pembangkang yang diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri. Usaha murni ini merupakan manifestasi penjajaran dinamika politik yang berlaku di Malaysia sejak rakyat bersuara di PRU-14 hinggalah kini.
Bagi IDE, proses yang berlaku ini adalah suatu amalan baik bagi memastikan tatakelola negara dijalankan dengan baik dengan mengambil kira pelbagai faktor melibatkan isu kesejahteraan rakyat baik dari segi kesihatan, pendidikan, sosial, dan ekonomi. Kesuburan demokrasi yang berlaku dengan setiap fenomena-fenomena aksi politik yang terjadi ini harus dipandang sebagai suatu pendidikan kewarganegaraan, politik dan demokrasi dalam kalangan rakyat. Dengan menyahut seruan hidup bersama dalam budaya damai iaitu peaceful coexistence atau fiqh ta’ayush dalam pembinaan bangsa Malaysia yang dinukilkan oleh Almarhum Ustaz Dato’ Siddiq Fadzil, usaha pemuafakatan kerjasama politik yang dibuat ini sudah pasti dapat memperkukuh pembinaan bangsa Malayisa yang bersifat multi-dimensi ini.
IDE mengharapkan agar proses semak dan imbang oleh Blok Pembangkang tetap diteruskan dan dimainkan supaya institusi eksekutif dapat berjalan dengan baik. Idea reformasi institusi parlimen hendaklah menjadi keutamaan oleh semua pihak bagi membebaskan institusi ini dari cengkaman pihak eksekutif dan sekaligus memastikan tiga sendi utama dalam demokrasi di Malaysia iaitu Badan Eksekutif, Legislatif dan Judisiari dapat berjalan dan pengasingan kuasa dapat dijelmakan dengan jelas.
DATO’ HAJI ISMAIL YUSOP
Ketua Kluster Pembinaan Bangsa & Jaringan Antarabangsa
Institut Darul Ehsan
Average Rating