ang
ang ong ang
ang ong ang ang ang
ang ang ang ang
dilepaskan ke lapangan
beratus peraih
mengintai restoran
lorong, jambatan
dicari lobi,
berkopi di lobi
ang
ang ong ang
ong ang
dikilas kaki tangan
berpuluh pengais mengumpul
menggumpal janji dan mengumpan
wang, bersampul wang
ang ang ang ong ang
yang menang kelak katak
limpah memenuh petak
meriahlah parlimen
sampah berbalingan
bertukar-tukar maki
hujah, murni tenggelam
dalam hentak tukul
sesosok seladang dogol
dewan menjadi pasar
ditutup suara kasar
tak satupun tempelak
menjadi
bilang sang seladang,
“yang berhormat , yang berhormat duduk,
duduk yang berhormat, duduk”.
Ini sidang katak
mana reti mendengar
yang dia tahu ang
ong ang
ong ang
haaaah !
selagi hujan
selagi tempayan mengumpan
di sanalah melompat
katak-katak
dia diternak
bapak-bapak katak
ada berserban
ada bertopi
ada berjubah
ada berkumis rapi
kencang berdoa
katanya
sedang menghalusi
berkontemplasi
katak manakah
ang ong ang
yaa masih bisa dibeli
untuk memanjang hayat
walau sehari
ang
ang ong ang
ang ong
ang ang ang
ang ang
demikian negeri darul dongeng
dihuni katak-katak
gemuk
ang ong ang
tak henti berbunyi menyeberang
pagi petang
siang dan malam
ang ong ang
ang ong ang
itu, masih galak berbunyi
ang ong ang
mahunya apa
tidak aku mengerti
melainkan tuan yang
menternak
katak-katak
ang ong ang
terima kasih
Anbakri, 3 September 2021.
Average Rating