Kenyataan Media | 03hb September 2021, Jumaat
PENGEMBALIAN AKTA PERKHIDMATAN PARLIMEN MENGHIDUPSUBUR KEMBALI DEMOKRASI DAN PENGASINGAN KUASA
Institut Darul Ehsan (IDE) menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang berhasrat mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.
Sebagai badan pemikir sosial, politik dan demokrasi rakyat, IDE menerusi dokumen resolusi Seminar Reformasi Parlimen yang telah dianjurkan pada tahun 2019 dengan kerjasama Pejabat Speaker Dewan Rakyat ketika itu telah menggariskan dapatan-dapatan seperti autonomi badan Parlimen seperti Akta Perkhidmatan Parlimen, kefungsian senator, penggunaan bahasa ahli Parlimen, representasi wanita, ketelusan mekanisme jawatankuasa Parlimen, partisipasi awam dalam perbincangan dan pertembungan kuasa eksekutif. Selain itu, IDE juga telah menggerakkan Bengkel Penyelidik Efektif di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi memastikan pegawai ahli yang berhormat dilatih dalam kerangka pemikir pembantu pembuat dasar dan polisi.
Justeru, adalah amat diharapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) dapat merujuk kembali dokumen yang telah dihasilkan dan IDE menyatakan kesediaan bagi membantu dalam hal ehwal Reformasi Parlimen demi mengangkat nadi rakyat dengan memperkukuh sendi demokrasi kenegeraan.
DATO’ HAJI ISMAIL YUSOP
Ketua Kluster Pembinaan Bangsa dan Jaringan Antarabangsa
Institut Darul Ehsan
Average Rating