Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini telah menyatakan bahawa beliau akan mengemukakan Usul Undi Kepercayaan terhadap dirinya sendiri di dalam Dewan Rakyat apabila Parlimen dibuka pada bulan September 2021 nanti. Apakah itu Undi Kepercayaan atau Undi Tidak Percaya?
Buku Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representatives) of Malaysia mentakrifkan Usul Undi Tidak Percaya boleh juga dikenali sebagai Undi Kepercayaan. Ahli Dewan Rakyat boleh mengemukakan satu Usul Percaya/Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri atau Kerajaan bagi menentukan sama ada PM atau Kerajaan masih lagi mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Peraturan Mesyuarat tidak menerangkan secara terang dan jelas berhubung Usul Percaya/Tidak Percaya tetapi Usul ini menjadi sebahagian daripada Konvensyen dan amalan penting di Westminster.
Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak menerangkan secara khusus berhubung tatacara bagaimana membuktikan sokongan dan kehilangan kepercayaan majoriti.
Usul Undi Tidak Percaya tidak pernah dibahaskan di dalam Dewan Rakyat namun pernah dilakukan di DUN Sarawak (1966), DUN Selangor (1976), DUN Kelantan (1977).
Bagi Usul Undi Percaya, ia pernah dibentang kepada Tun Hussein Onn 27 Januari 1976 dan kepada Dato’ Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi pada 3 November 2003 sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Infografik Usul Undi Kepercayaan atau Usul Undi Tidak Percaya disediakan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) bagi tujuan mendidik masyarakat berhubung apa maksud, ciri-cirinya dan aturan di dalam Dewan Rakyat.
Sumber: Institut Reformasi Politik dan Demokrasi

Average Rating