


Perbincangan berkenaan dengan tajuk berkaitan Integriti dan tatakelola negara: Dimana kedudukan Malaysia dibentangkan oleh Dr. Muhammad Mohan yang merupakan Presiden Transparency International Malaysia. Dalam pembentangan tersebut, dapatan CPI negara OIC menunjukkan bahawa Malaysia berada di skor yang ke -51 dan kedudukan yang ke -57 selepas daripada kes 1MDB diperkatakan di seluruh dunia dengan tambahan PRU-14 dan juga perubahan pucuk pimpinan kerajaan.


Pengulas pertama iaitu Ustaz Marwan Bukhari Abd Hamid menegaskan bahawa isu rasuah ini adalah kefahaman individu terhadap tanggungjawab atau pun tugas yang digalas, begitu juga dalam menegakkan keadilan tidak kira apa sahaja jawatan yang dipikul. Umumnya mengetahui bahawa perilaku rasuah boleh memberi impak yang lebih besar kepada sesebuah institusi, keadaan kucar-kacir dan boleh menjurus kepada kejatuhan, begitu juga keadaan kepada sebuah negara di mana jika dibiarkan merebak dan boleh tergadai. Seharusnya setiap individu perlu memahami bahaya rasuah seperti virus yang membunuh dalam senyap. Rasuah ini harus diperkatakan secara terang-terangan dan diperincikan dari kecil hingga ke besar setiap perkara agar semua orang tahu perbuatan yang dilakukan itu menjurus kepada atau sebenarnya perilaku rasuah. Begitu juga ada segelintir individu menyatakan bahawa hadiah adalah boleh diterima dan tidak sama seperti rasuah, tetapi adakah hadiah itu diberikan kepada kita tanpa sebab dan bukan kerana jawatan kita. Jadi disini kita harus bezakan dan menekankan walaupun hadiah itu tidak boleh diterima sesuka hati. Kesalahan melakukan rasuah harus dijatuhkan hukuman seperti diturunkan jawatan atau didenda dengan sepatutnya.

Pengulas kedua iaitu Dato’ Haji Hussamuddin Yaacub pengerusi kumpulan karangkraf pula mengulas berkenaan rasuah merupakan isu global seperti pandemik dan telah berakar umbi sejak sekian lama. Rasuah ini melibatkan persepsi, melibatkan semua sektor dan bukan hanya ahli politik atau kakitangan kerajaan. Perkara ini berlaku disebabkan sesuatu sistem itu tanpa jiwa (roh) iaitu nilai sistem itu sendiri. Bagaimana setiap cara penyampaian agama itu tidak meresap ke hati individu. Pengulas juga memberi cadangan tentang revisit cara agama Islam itu disampai kan supaya ilmu yang disebarkan meresap ke hati dan mempraktikkan amalan tersebut bukan sekadar teori sahaja (teori dan praktikal). Begitu juga dengan harapan orang ramai terhadap pihak atasan yang kadangkala keterlaluan. Setiap individu harus berubah dalam setiap perkara bukan sahaja mengharapkan pihak atasan yang berubah. Ubah cara pemikiran kita, ubah cara penerimaan kita bahawa walau sekecil nilai rasuah tu tetap rasuah.

Pengulas ketiga iaitu Dato’ Abdul Samad Kasah, Mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM pula membawakan isu berkenaan dengan pelan kerajaan yang berfokus kepada rasuah tidak memberi impak yang positif secara keseluruhannya. Contohnya seperti Pelan Integriti Nasional yang boleh ditakrifkan GAGAL secara khususnya. Rakyat harus difahamkan dengan sebenar-benarnya bahawa jijiknya perbuatan rasuah itu seperti umat Islam yang di didik sejak kecil bahawa babi itu jijik. Setiap agama itu menerapkan bahawa perbuatan rasuah itu adalah tidak beretika dan perilaku yang salah. Pendidikan secara formal dan tidak formal tentang apa itu rasuah harus diperluaskan di setiap peringkat sekolah, begitu juga dalam pendidikan agama.

Pengulas keempat iaitu Encik Ooi Heng, Ketua Eksekutif Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) mengutarakan tentang manifesto PRU-14 seperti pengisytiharan harta oleh setiap wakil rakyat adalah perlu dilakukan untuk transparensi di antara rakyat dan wakil rakyat. Begitu juga dengan pembayaran gaji kepada MP samada secara penuh ataupun separuh harus dikaji dengan mendalam dan dapat mengurangkan perbelanjaan wang negara, serta dapat memanfaatkan kepada urus tadbir negara yang lebih penting.

Pengulas kelima iaitu Cik ‘Atiqah Syairah Shaharuddin, Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) bersetuju dengan ulasan yang diutarakan oleh pengulas sebelumnya. Cik ‘Atiqah lebih memberi fokus kepada belia menjelaskan bahawa cara gaya hidup itu mengundang kepada perilaku rasuah seseorang itu. Pendedahan yang menyeluruh terhadap kesalahan perbuatan rasuah kepada belia amnya menyebabkan terdapat individu yang merasakan rasuah itu ada kategori yang boleh dan yang tidak boleh dimana bercanggah dengan etika. Media sosial juga memainkan peranan penting kepada perilaku rasuah dimana kemewahan yang ditunjukkan boleh menyebabkan keinginan tetapi kekangan diri boleh menjurus kepada perbuatan rasuah untuk mencapai apa yang dikehendaki.


Average Rating