YB Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal dalam ucapannya merasmikan Wacana Isu Semasa Faraid dari perspektif Maqasid Shari‘ah telah menyampaikan ucapannya secara ‘online’. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IDE, para panelis dan sidang hadirin yang sama-sama menjayakan siri diskusi kali ini.
Islam sememangnya memberikan penekanan yang besar tentang aspek pemeliharaan harta. Bahkan jika dilihat dari perspektif maqasid al-Shari‘ah, kita boleh dapati bahawa pemeliharaan harta ini termasuk dalam salah satu daripada lima daruriyyat yang mesti kita jaga dan kita pelihara. Oleh yang demikian, jika kita lihat dalam hukum-hukum Islam, pelbagai pensyariatan telah dibentuk bagi mencapai objektif ini.
Antara instrumen pemeliharaan harta yang digariskan Islam adalah melalui pembahagian faraid yang akan kita bincangkan hari ini. Hakikatnya, topik faraid ini sememangnya dari dulu lagi menimbulkan isu-isu yang perlu kita teliti dan wacanakan kerana ia memberikan kesan yang besar dalam kita mencari penyelesaian dan memberikan pencerahan kepada masyarakat.
Isu dakwaan ketidakadilan dalam pengagihan harta pusaka antara lelaki dengan wanita, sebagai contohnya, telah menyebabkan sesetengah pihak memberikan imej yang buruk terhadap agama Islam. Ini menyebabkan ramai para sarjana terpaksa bangun bagi memberikan jawapan bagi menolak dakwaan tersebut. Isu perebutan harta dan isu harta beku yang tidak dituntut pula akan menyebabkan kerugian banyak pihak dan menafikan hak waris dan menyebabkan pertelingkahan dan pergaduhan yang tidak berkesudahan dalam kalangan keluarga.

Hal ini bukan menyebabkan pemeliharaan harta yang diinginkan Islam tidak tercapai, malah menyebabkan hubungan silaturahim antara keluarga turut terjejas. Antara faktor yang menyebabkan semua krisis ini berlaku adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat kita tentang kepentingan pengurusan dan perancangan harta selepas kematian. Masyarakat perlu didedahkan tentang urusan perancangan harta seperti faraid, wasiat, hibah dan sebagainya supaya tiada pihak yang dizalimi dan rasa teraniaya dengan pembahagian harta ini.
Saya percaya diskusi kita pada hari ini mampu memberikan pencerahan kepada masyarakat berkenaan kepentingan isu faraid ini dan mampu mencari solusi bagi isu-isu yang kita sedang hadapi.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas siri diskusi ini. Semoga diskusi ini mampu mencapai hasrat yang diinginkan dan terus diperbanyakkan lagi pada masa hadapan.
Average Rating