Pandangan umum: Adakah ekonomi rakyat terkesan dengan wabak Covid-19?
Oleh: Azmariana Azman
Virus Covid-19 masih menjadi perbincangan dunia kerana wabak ini benar-benar menggoncang dunia dari sudut kesihatan, ekonomi, sosial, teknologi dan sebagainya. Pandemik ini berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2(SARS-CoV-2). Wabak ini mula dikesan pada Disember 2019 di bandaraya Wuhan, China dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020[1]. Wabak ini memberi kesan yang menggerunkan di seluruh dunia khususnya di Malaysia. Pada 16 Mac 2020, perdana menteri Malaysia, Tan Sri DAto Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin telah membuat pengumuman di stesen-stesen televisyen mengatakan bahawa kerajaan akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP). Pengumuman ini menimbulkan kepanikan dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana belum pernah lagi berlaku perkara seperti ini setelah berpuluh-puluh tahun negara merdeka.
PKP bertujuan menjadi langkah pencegahan dan kekangan penularan wabak Covid-19. Namun begitu, banyak kesan sampingan lain telah berlaku hasil PKP dijalankan terutama dari sudut ekonomi dan psikososial. Ini merujuk kepada kenyataan akhbar Astro Awani oleh Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari yang merupakan pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Putra Malaysia berkaitan impak ekonomi rakyat kesan penularan covid-19[2]. Beliau mengatakan bahawa COVID-19 memberi impak kepada ekonomi rakyat pada masa kini melalui tiga saluran iaitu (i) penurunan permintaan eksport, (ii) penurunan permintaan domestik dan (iii) kesan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehubungan dengan perkara ini pihak Institut Darul Ehsan (IDE) telah mengambil inisiatif menjalankan kajian “Pandangan Umum Impak Covid-19 kepada Sosio-ekonomi Malaysia” pada 17-29 Mei 2020 di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Kajian yang telah dijalankan selama dua minggu ini telah melibatkan seramai 917 orang responden yang berumur 15 tahun keatas. Pengumpulan data dilakukan secara atas talian memandangkan keadaan covid-19 yang masih belum terkawal. Beberapa domain telah dilihat dalam kajian ini antara bahagian yang menjadi tumpuan adalah ekonomi. Umum mengetahui bahawa wabak ini terutama apabila PKP dilaksanakan memberi kesan yang sangat negatif kepada sektor ekonomi tambahan pula rata-rata masyarakat Malaysia tidak bersedia dengan fenomena ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa dari tempoh awal covid-19, rakyat hanya mampu bertahan paling lama 6 bulan (27%) untuk kerajaan menjalankan PKP.

Sebanyak 26% responden mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju untuk menjalankan PKP kerana pendapatan perniagaan mereka terjejas, diikuti 22% mengatakan pergerakan terbatas serta 20% menyatakan bahawa mereka tidak dapat menjalankan aktiviti keagamaan. Rakyat juga ingin mengetahui pelan perancangan kerajaan terhadap ekonomi negara selepas tempoh wabak covid19 ini berakhir (68% = sangat bersetuju, 30% = setuju). Ini bertujuan membantu mereka untuk merancang kehidupan mereka pada masa akan datang dan mengurangkan tahap kebimbangan mereka dengan situasi yang samar.

Berdasarkan dapatan awal kajian ringkas yang telah dijalankan oleh pihak IDE, pelbagai lagi kajian susulan boleh dilakukan untuk mengetahui lebih dalam tentang sesuatu isu yang menjadi dilemma kepada masyarakat umum. Kerajaan juga perlu memikirkan inisiatif yang pelbagai untuk menghadapi wabak Covid-19 yang masih berleluasa bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia. Pandemik ini jika tidak ditangani dengan bijak akan menjadi krisis yang lebih buruk pada masa akan datang.
[1] “WHO Director-General’s opening remarks at the media briefing on COVID-19 – 11 March 2020”. World Health Organization. 11 March 2020.
[2] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/fahami-cara-covid19-beri-impak-kepada-rakyat-dan-ekonomi-235835 diakses pada 20 October 2020
Average Rating