Pilihan Raya Kecil N58 DUN SLIM merupakan PRK yang ke 12 berlaku sejak PRU 14 pada 2018. PRK ini juga merupakan PRK kedua selepas peralihan kuasa Februari 2020 daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Kerajaan Perikatan Nasional(PN). Pengundi Slim River bakal turun mengundi pada 29 Ogos 2020. PRK dilaksanakan setelah kerusi DUN SLIM diisytiharkan kosong selepas wakil rakyatnya YB Dato Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen selama 14 hari, susulan penamaan calon pada 15 Ogos 2020. PRK ini juga merupakan PRK kedua berlangsung dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang pastinya membawa cabaran tersendiri dengan kewajipan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.
SPR telah mengisytiharkan jumlah pengundi yang telah diiktiraf sebagai pengundi yang sah dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) adalah seramai 23,094 orang pengundi terbahagi kepada 11,447 pengundi lelaki dan 11,647 pengundi perempuan.

Pada hari penamaan calon yang lalu pada 15 Ogos 2020, memperlihatkan tiga pencalonan iaitu:
- Barisan Nasional (BN) mencalonkan Mohd Zaidi Aziz
- BEBAS-PEJUANG – Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
- Bebas – S.Sentharasekaran
Calon BN, Saudara Mohd Zaidi Aziz dan Calon BEBAS-PEJUANG mempunyai keunikan tersendiri kerana keduanya merupakan mantan pimpinan yang terlibat dalam pergerakan Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika keduanya di peringkat Mahasiswa Universiti melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang merupakan badan gabungan MBM. Sebagai aktivis beliau kedua-dua tokoh mempunyai latar belakang perjuangan belia dan generasi muda tersendiri. Zaidi mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pemimpin akar umbi dalam UMNO yang berkecimpung dalam politik dari Cawangan UMNO hingga ke Bahagian UMNO sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim. Pastinya sokongan dari akar umbi UMNO terhadap beliau tiada masalah kerana beliau adalah calon dari hirarki kepimpinan UMNO Bahagian.
Amir Khusyairi, walaupun beliau anak jati Perak, dalam PRK Slim ini pastinya jentera yang membantu beliau adalah sebahagian besarnya dari jentera BERSATU Blackout yang tidak menyokong kepimpinan BERSATU sedia ada kesan terkeluarnya Tun Dr Mahathir dan beberapa pimpinan utama dari Parti BERSATU. Kumpulan ini telah mengistiharkan penubuhan Parti Baru iaitu Parti PEJUANG. PH khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah membuat keputusan untuk tidak menghantar calon dan memberi ruang kepada parti BERSATU Tun Mahathir ketika itu (Kini PEJUANG) untuk mengemukakan calon. Atas dasar solidariti, parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan, memberi sokongan kepada calon BEBAS-PEJUANG ini walaupun tidak bertanding atas logo Pakatan Harapan. Justeru sepanjang kempen berlangsung tokoh-tokoh pimpinan dari Parti AMANAH, DAP dan KEADILAN turut dilihat berkempen, namun tidak serancak jika pertandingan atas nama PH dalam PRK-PRK terdahulu.


ANALISIS KEPUTUSAN DUN SLIM PRU-14

Pada PRU 14 yang lalu BN telah berjaya memenangi kerusi DUN ini dengan 8,327 undi membawa kepada majoriti 2,183 undi berbanding dengan 3 calon lain ketika itu dari Parti Bersatu (PH) dan Parti PAS. Undi popular BN adalah 44%, PH 32% dan PAS 22%.
Namun demikian, melihat kepada pecahan sokongan undian berdasarkan kaum, jelas bahawa sokongan BN bergantung kepada undi Melayu. Dalam PRU14 yang lalu sokongan Melayu kepada BN adalah 51% dan PAS pula dalam 27%. PH hanya meraih 20% undi Melayu. Gabungan antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional menjadikan kekuatan sokongan undi Melayu boleh meningkat kepada 78%. Kekuatan PH dalam PRK Slim River terpecah kepada 20% sokongan Melayu, 73% sokongan Cina dan 53% sokongan India.

Menganalisis trend pola sokongan pengundian di Slim River, didapati sejak awal lagi kawasan ini sememangnya kubu kuat Barisan Nasional, walaupun dalam PRU 14 lepas di peringkat Parlimen, kerusi Parlimen Tanjung Malim dimenangi oleh Pakatan Harapan daripada Parti Keadilan Rakyat iaitu YB Tuan Chang Lih Kang. Beliau hilang undi di sebahagian besar peti-peti undi di daerah mengundi dalam DUN Slim.
Pola pengundian PRU 11 hingga PRU13, BN mempunyai kekuatan sokongan sekitar 47%-50% kecuali pada PRU14 merosot kepada 36%. Di peringkat gabungan pembangkang, sejak Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, kawasan ini menjadi kawasan yang ditandingi oleh Parti PAS ketika PAS masih dalam gabungan tersebut kecuali pada PRU14 yang lalu. Melihat kepada pola pengundian, PAS mempunyai undi tegar sekitar 15%-18%. Undi BN merosot hingga 36% pada PRU14 yang lalu adalah disebabkan oleh perpecahan undi BN yang pergi kepada Parti Bersatu yang bersama dalam Pakatan Harapan di PRU14.

Dun Slim merupakan kawasan majoriti Melayu dengan 76% daripada pengundi merupakan Melayu Islam. Sejak daripada PRU11 sehingga PRU13 pas menjadi wakil pembangkang untuk bertanding di DUN tersebut. Pada PRU14, BN berjaya menang (6 DM) di semua kawasan majoriti Melayu manakala PH hanya menang di kawasan majoriti India dan campuran sahaja. Enam daerah mengundi ini merupakan “fix deposit” besar yang terdiri daripada gugusan FELDA yang majoritinya mempunyai sentimen tinggi terhadap Barisan Nasional.
Berdasarkan PRU14, gabungan undi BN + PAS berjaya menang mudah di semua kawasan Melayu melebihi 50%. BN tidak pernah kalah di DUN Slim semenjak PRU11 dan pengurangan undi pada PRU14 adalah disebabkan oleh perpecahan undi Melayu dengan pertandingan tiga penjuru. Cabaran bagi calon lain selain BN untuk menang mereka perlu menguasai undi Melayu tidak kurang dari 42%.

Pada PRU14, BN hanya menang di kawasan majoriti melayu dan PH hanya menang di kawasan campuran. Pertandingan 3 penjuru menyebabkan tiada parti memperolehi undi melebihi 65% di kawasan majoriti Melayu tetapi dengan gabungan undi BN + PAS berjaya mengukuhkan lagi sokongan undi Melayu. PAS hilang deposit di 4 DM yang mana kawasan campuran.
6 daerah mengundi peratusan melayu 90% ke atas PH hanya mendapat undi secara purata sebanyak 19% sahaja sedangkan 60% pengundi DUN Slim adalah daripada 6 DM mengundi tersebut. Justeru untuk menang menandingi BN, maka BEBAS-PEJUANG atau PH sekalipun, umpamanya perlu merancang strategi untuk mendapat undi melebihi 30% di 6 DM tersebut.

Terdapat pengurangan sebanyak 1.3% undi PH di peringkat Parlimen dan DUN yang mana undi di peringkat DUN sebanyak 31.9% manakala parlimen 30.6%. Tetapi bagi BN, undi yang diterima di peringkat DUN lebih tinggi di peringkat Parlimen dengan perbezaan sebnyak 3%. Ini menunjukkan pengundi BN yang mengundi BN diperingkat DUN tidak mengundi BN di peringkat parlimen. Sokongan kepada PAS meningkat kepada 4.1% di peringkat parlimen berbanding sokongan di DUN.
Sokongan pengundi muda berpecah kepada tiga dan tidak ‘solid’ kepada mana-mana parti. Tetapi bagi pengundi yang berumur 51 tahun ke atas, sokongan undi kepada BN adalah ‘solid’ terutamanya pengundi yang berumur 61 tahun ke atas. Gabungan undi BN dan PAS dalam konteks PRK DUN Slim kali ini berkemungkinan boleh menarik sokongan di semua peringkat umur khususnya di Daerah Mengundi majoriti Melayu.

KESIMPULAN
Berdasarkan gabungan undi BN dan undi PAS pada PRU14, BEBAS-PEJUANG akan kalah dengan majoriti sebanyak 8,470 undi. Jika diambil kira ‘swing’ pengundi melayu kepada BEBAS-PEJUANG sebanyak 10% & 20%, BEBAS-PEJUANG masih tidak mudah untuk menang. Untuk menang BEBAS-PEJUANG perlu mendapat memperolehi majoriti sokongan pengundi Cina dan India iaitu sebanyak 80% dan ‘swing’ pengundi Melayu kepada BEBAS-PEJUANG sekurang-kurangnya 20%.
Hal ini amat sukar kepada BEBAS-PEJUANG kerana pada PRU14, PH hanya mendapat 20% undi melayu dan bagi pengundi India, BN mendapat undi sebanyak 40% dan terdapat satu DM campuran yang majoritinya India dimenangi oleh BN pada PRU14 yang lalu serta beberapa DM lain yang mempunyai pengundi India melebihi 50% ke atas BN mendapat undi melebihi 20%. Oleh yang demikian, daripada data sentimen pola pengundian sedia ada dan sentimen semasa, jika peratusan turun mengundi sebanyak 70%, BN dijangka boleh memperolehi 57% sokongan daripada jumlah yang turun mengundi.
Oleh:
UNIT PENYELIDIKAN
INSTITUT DARUL EHSAN (IDE)
KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Pengurus Kanan Penyelidikan.
KAMARULBAHRIN ZAHID
Pengurus Kanan Program.
MOHD FIRDAUS MOHAMMAD
Pegawai Penyelidik.
Average Rating