ULASAN BUKU oleh Dr. Ghazali Basri PILIHAN RAYA: PRINSIP DAN HUKUM

ULASAN BUKU oleh Dr. Ghazali Basri PILIHAN RAYA: PRINSIP DAN HUKUM

0 0

PILIHAN RAYA : PRINSIP DAN HUKUM (Judul Asal: Intikhabat: Ahkam wa Dawabit) oleh Akram Kassab. Institut Darul Ehsan. 2017 Hlm. 224 ISBN 978-967-2066-19-4.
https://m.facebook.com/pg/ideselangor/shop

Kehadiran buku Pilihan Raya: Prinsip dan Hukum di pasaran sangat dialu-alukan khususnya dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Sepanjang pengamatan pengulas, inilah satu-satunya karya yang sangat dihajatkan oleh setiap warga bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Judul asalnya ialah Al-Intikhābāt: Aḥkam wa Ḍawābiṭ hasil karya Akram Kassab, seorang sarjana dari Mesir. Daripada judul buku kita dapat menelah pokok-pokok perbahasan yang dipersembahkan. Ungkapan Prinsip dan Hukum dapat dianggap sebagai kerangka dasar bagi menjelaskan pendirian Islam terhadap amalan sistem pilihan raya yang sudah diguna-pakai oleh kebanyakan negara yang majoriti umatnya orang Islam dewasa ini. Oleh kerana tidak semua negara umat Islam mengamalkannya, maka wujudlah perbezaan pendapat mengenai hukum antara yang mengharuskan dengan yang tidak mengharuskan sistem pilihan raya. Polemik mengenainya dimuatkan dalam bahagian kedua buku ini dengan tajuk: Sistem Pilihan Raya di Antara Pendokong dan Penentang.

Pendokong sistem pilihan raya berhujah menggunakan kaedah feqah: asal sesuatu perkara adalah harus, selagi mana ia tidak bercanggah dengan syari’at; manakala penentang pula berhujah bahawa oleh kerana pilihan raya menobatkan suara majoriti sebagai penentu, sedangkan al-Qur’an banyak menyebutkan bahawa yang majoriti (akthar) itu sebagai jahil dan menyesatkan (QS 6:116; QS 7: 186) . Lagi pun sistem pilihan raya bagi mereka adalah sistem ciptaan Barat.

Apakah ada petunjuk daripada al-Qur’an mengenai pilihanraya? Penulis menghuraikan konsep khayr daripada akar kata: خ ي ر saperti dalam ayat 155 Surah Al-A‘rāf, bermaksud:

Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk bersamanya ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah Kami tentukan.

Ayat-ayat yang menyebutkan konsep khayr bermaksud memilih terdapat dalam surah-surah: Ta Ha: 13; al-Qaṣāṣ: 68; al-Ahzāb: 36; al-Wāqi’ah : 20; al-Qalam: 38; ad-Dukhān: 32; dan Sod: 47 -48.

Huraian bagi konsep ṣafā daripada akar kata: ص ف و seperti dalam ayat 33 Surah Ali ‘Imran bermaksud:

Sesungguhnya Allah SWT telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imran, melebihi segala umat (yang ada pada masa mereka masing-masing).

Ayat-ayat yang menyebutkan konsep safa bermaksud memilih di atas didapati juga dalam surah-surah al-Baqarah: 130, 132, 247; an-Naml: 59; Ali ‘Imrān: 42; al-A‘rāf: 144; al—Isrā: 40; as-Sāffāt: 153; _ Fāṭir_: 32; al-Hajj: 75; Sod: 47; dan az-Zukhrūf: 16.

Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa konsep memilih daripada perkataan khayr membawa maksud memilih yang terbaik, daripada perkataan khayr dan perkataan ṣafā membawa maksud memilih yang jernih peribadi kerana perkataan ṣafā juga membawa maksud bersih dan ikhlas.

Di samping petunjuk al-Qur’an penulis berhujah menurut perspektif Sunnah. Bagi mewakili sepuluh buah hujah yang disebutkan (hlm 12-16), sebagai contoh: Menjelang Perjanjian ‘Aqabah kedua, dalam perjanjian itu, Rasulullah s.’.w. berkata kepada golongna Ansar:

“Bawalah kepadaku 12 orang ketua yang berpengaruh di jkalangan kamu!”

Atas arahan itu mereka membawa 12 orang ketua berpengaruh dalam kalangan mereka, 9 daripadanya dari kalangan suku Kahzraj dan 3 lagi daripada suku Aus. Tidak syak lagi bahawa telah berlaku proses pemilihan dan pencalonan individu dalam kalangan mereka bagi mendapatkan 12 orang ketua yang diminta Rasulullah s.’a.w. Perbahasan pilihan raya menurut Islam tidak dapat lari daripada penjelasan hukum pelaksanaan rukun-rukun pelaksanaannya, hukum memboikot pilihan raya dan hukum berkempen dengan menggunakan duit haram. Perkara-perkara tersebut di atas dihurai dengan terperinci.

Dari segi liputan kandungan pula adalah menyeluruh: perbincangan mengenai persoalan: apa? itu pilihan raya, siapa?, mengapa? dan bagaimana? Pilihan raya itu dikendalikan semuanya terjawab. Persoalan mengenai ‘apa’ telah pun dihurai tentang definisi, mengenai siapa yang terlibat dihurai di bawah tajuk: pemilih, calon-calon yang dipilih, mengenai ‘mengapa’ dihurai keperluan memenuhi kehendak syariat (maqāṣid sharī’ah), manakala dalam persoalan ‘bagaimana’ dihurai tugas suruhanjaya yang mengurus perjalanan pilihan raya. Termasuk dalam aspek ini adalah seperti tugas, kewajipan dan etika calon, pendanaan kempen, penerimaan dan penglibatan bukan Islam mewakili suara kelompoknya. Turut diberi perhatian dalam buku ini ialah penglibatan wanitu sebagai calon, kesepakatan (tahaluf) antara calon atau parti yang berbeza manifesto, sesama muslim dan bukan muslim, dan etika berkempen.

Dalam hal etika berkempen, dihuraikan apakah seorang calon dibolehkan memperomosi dirinya sendiri? Penulis menyebutkan juga amalan yang sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Islam menggunakan masjid dan melafazkan ayat–ayat Qur’an dan Hadis dalam berkempen. Apakah hal-hal seperti ini dibolehkan? Sebagai rumusan berikut adalah beberapa pokok pemikiran yang penulis buku ini bekalkan kepada pembaca:

• Memilih atau mengundi calon yang berwibawa dan berintegriti adalah jihad.
• Pilihan raya adalah alat (wasilah) yang membolehkan rakyat memilih wakil mereka ke majlis perwakilan di parlimen: pembuat undang-undang, badan pelaksana, dan kehakiman berusaha ke arah mewujudkan maslahat dan manfaat ummah. Menurut kaedah feqah, Oleh kerana pilihan raya menjadi syarat untuk mencapai maslahat ummah (suatu kewajipan), maka ianya (pilihan raya) juga menjadi wajib.
• Mengundi dalam pilihan raya adalah wajib kerana tiada siapa pun yang berhak menghalangnya daripada melaksanakan tanggungjawab seseorang pengundi.
• Keputusan pilihan raya wajib dipatuhi kerana ia sama dengan keputusan syura dalam membuat pemilihan ketua. Adalah haram bagi orang yang menolak keputusan pilihan rakyat.
• Pencalonan bukan Islam adalah diharuskan atas dasar status warga negara yang tertakluk dalam kaedah feqah: “Mereka dapat apa yang kamu dapat, dan tanggungjwab mereka sama seperti tanggungjawab kamu”.

Semua perkara di atas akan pembaca dapati jawapannya dalam buku ini. Sila buat pesanan untuk memperolehinya.

Untuk pesanan layari
https://m.facebook.com/pg/ideselangor/shop

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

en_GBEnglish